Penulis: Azizi Haji Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2006
Halaman: 561
Harga: Tidak dinyatakan pada kulit (dibeli dengan harga RM35.00 di MPH)
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Cinta tidak mengenal usia, rupa, darjat, bangsa dan agama. Cinta yang terluah dan disambut, alangkah indahnya. Cinta yang terhalang derita jadinya. Namun, bagaimana jika cinta itu cinta terpendam, datang tanpa diundang, keliru antara sayang dan kasihan? Kata orang, adat muda menanggung rindu, namun jika orang tua yang memendam rasa, bagaimana?
Kain basahan ikat di beranda,
Letak belati di hujung perahu;
Kasihan ada ingat pun ada,
Retak di hati siapalah yang tahu.
Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu;
Jika bercinta menyesal jangan,
Ada rang tua sembunyi rindu.
Sangeetha, cerita cinta terpendam antara warga emas India dengan Melayu yang tidak diluahkan melalui kata-kata. Bagaimana kesudahannya?
Ulasan:
Rasanya tidak salah kalau saya katakan bahawa pasaran novel tempatan telah sarat dengan novel cinta. Cinta apa? Cinta remaja, cinta orang muda, cinta Romeo dan Juliet. Sangeetha juga kisah cinta. Tapi cinta yang dikisahkan di sini lain daripada yang lain. Setidak-tidaknya cinta di antara watak Derus dengan watak Sangeetha adalah sesuatu yang - setakat pengetahuan saya - belum pernah diterbitkan di dalam bentuk novel.
Saya kira Azizi Haji Abdullah berani menyentuh isu cinta antara dua ras dan agama yang berbeza. Penulis meniti satu garis yang halus yang jika tidak berhati-hati boleh menjebakkan novel ini ke dalam kancah kontroversi, sensitiviti dan polemik yang tidak akan berkesudahan. Malah, awalan cerita ini sahaja boleh ditafsir sebagai "subjek sensitif" bagi mereka yang tidak boleh dicuit atau dirangsang pemikiran. Bagi saya, apa yang dipaparkan oleh Azizi Haji Abdullah menerusi kisah Sangeetha ini sebenarnya adalah realiti yang banyak berlaku di dalam masyarakat. Cuma mungkin kita yang tidak mahu melihat atau mengakui hakikat ini. Tatkala saya membaca Sangeetha, saya terasa seperti mengikuti berita tentang perkembangan semasa yang menyentuh isu Islam atau tidak Islam seseorang yang zahirnya nampak seperti bukan Islam. Memang subjek ini subjek yang sensitif, tapi saya rasa pendekatan yang diambil oleh penulis adalah pendekatan yang berhikmah.
Secara peribadi, kisah Sangeetha adalah satu kisah yang perlu diceritakan. Ini kerana ianya adalah kisah yang memang berlaku di dalam masyarakat. Ianya bukan kisah cinta monyet remaja atau kisah cinta lara orang muda. Kisah ini sarat dengan peringatan dan pengajaran kepada kita semua. Cinta itu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Dan memang benar, cinta itu tidak mengenal batas usia, sempadan bangsa atau perbezaan agama. Itulah satu hakikat yang tidak boleh sama sekali kita nafikan.
Saya terhibur dengan gaya penceritaan Azizi Haji Abdullah. Beliau banyak menggunakan slanga utara dengan menyelitkan perkataan-perkataan seperti - sekadar menyebut beberapa contoh - "kernyeh," "linglung," "jerumun" dan "kejipan" di sana sini. Bahasanya mudah dan indah. Saya terasa seperti "diserap" masuk ke dalam kisah Sangeetha ini. Azizi Haji Abdullah juga memperkenalkan kepada pembaca dunia gambus dan tabla. Dua kesenian berbeza tetapi nampak boleh serasi bersama. Istilah-istilah teknikal yang melibatkan tabla terutamanya memberikan banyak maklumat baru kepada pembaca mengenai kesenian India ini.
Bagi saya, ini adalah satu kisah yang mengajak pembacanya berfikir. Klimaks kisah ini juga meletakkan kita semua selaku pembaca di dalam satu situasi yang memerlukan kita untuk memerah otak kita. Apakah yang akan kita lakukan jika kita berada di dalam situasi sedemikian? Tidak semudah yang kita fikirkan sebenarnya.
Penilaian: 5 bintang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan