Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Isnin, 30 Julai 2007

Ini Suatu Cerita


Penulis: Faizal Dzasrik
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 506
Harga: RM24.90 (Semenanjung Malaysia) / RM27.90 (Sabah dan Sarawak)
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Tiga lelaki berbeza,
Tiga perempuan berbeza (Ops, silap!)
Ada ramai sebenarnya....

Siapa mereka?
Menarik sangatkah kisah hidup mereka?

Tiga kisah dalam satu cerita? Lainnya!


Ulasan:

Setiap kali saya membuat satu-satu ulasan, saya cuba setakat mana termampu untuk menjadi objektif. Saya harap kritikan saya terhadap novel ini akan dilihat sebagai satu kritikan yang membina demi kebaikan. Sesungguhnya niat saya sekadar untuk melihat penambahbaikan dan tidak sama sekali saya berniat untuk menjatuhkan atau menghentam sesiapa.

Pertamanya, saya harus katakan di sini bahawa perkara yang menarik minat saya untuk membeli novel Ini Suatu Cerita adalah kulit depannya yang saya kira lain daripada biasa. Kelainan ini menjadi daya penarik yang berjaya menggapai orang seperti saya untuk membelinya. Pun begitu, tidak banyak maklumat dapat diperolehi daripada sinopsis di belakang kulit ini - terlalu ringkas menyebabkan pembaca tidak dapat membuat keputusan sama ada ini kisah yang ingin dibaca oleh mereka.

Saya membaca novel ini menjangkakan kisahnya adalah kisah yang akan mengundang senyum seperti 5 Tahun 5 Bulan yang pernah saya ulas sebelum ini. Mungkin itulah silap saya kerana menjadikan 5 Tahun 5 Bulan sebagai kayu pengukur. Saya akui Ini Suatu Cerita ada ketikanya mampu mengundang senyum tetapi kisahnya tidak cukup kuat untuk menarik perhatian saya dari awal hingga habis. Saya terasa seperti perlu memaksa diri untuk membaca kisah mengenai Lan (si Semput), Syuk (si Buaya Plastik) dan Zaireen (si Kambing Gurun) ini.

Tiga kisah dalam satu ini tidak digarap dengan mantap menyebabkan pembaca seperti saya mudah hilang konsentrasi. Memburukkan lagi keadaan ialah apabila penyuntingan tidak dilakukan dengan kemas. Ada ketikanya perkataan Bahasa Inggeris dibiarkan begitu sahaja tanpa italik, ada ketikanya pula perkataan Bahasa Inggeris diletakkan di antara pembuka dan penutup kata, dan ada pula ketikanya perkataan Bahasa Inggeris diitalikkan.

Ejaan Bahasa Malaysia juga terdapat beberapa kesalahan - yang saya harap tidak disengajakan. Penggunaan Bahasa Inggeris juga agak lintang-pukang nahu dan ejaannya. Tak perlulah saya senaraikan di sini kerana bukan niat saya hendak menjadi guru Bahasa Inggeris.

Walaupun perkara-perkara ini mungkin remeh bagi sesetengah orang, bagi saya ianya tidak boleh dipandang enteng. Penulis dan penyunting wajar meminimumkan kesilapan-kesilapan asas.

Apapun, saya rasa penulis Ini Suatu Cerita mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Saya hormati keberaniannya untuk terjun ke dunia penulisan yang penuh onar dan duri. Saya doakan agar Faizal Dzasrik akan dapat menjadi penulis yang berjaya kerana saya yakin dia punya khalayak pembacanya tersendiri. Cuma sayang sekali saya bukan tergolong di dalam khalayak pembaca tersebut.


Penilaian: 2 bintang

Sabtu, 21 Julai 2007

As I Was Passing


Penulis: Adibah Amin
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2007 (cetakan kedua)
Halaman: 344
Harga: RM32.90
Genre: Bukan fiksyen, humor
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

Adibah Amin's As I Was Passing celebrates the Malaysian way of life. In this delightful, inventive collage of anecdotal essays, she looks into the heart and soul of Malaysia, past and present, with humour and through crisp prose. She dissects the Malaysian psyche and its quirks and idiosyncrasies with relish and abandonment.

Adibah is an astute anecdotalist, blessed with a talent for the closely observed detail as well as a keen sense for the foibles of others and a keener sense of humour about her own follies. Her affection for Malaysia and Malaysians comes through clearly even as she pokes fun at them. If you need one book that captures the essence of what it is to be Malaysian or some idea of Malaysianness, you won't go wrong with this one.


Ulasan:

Ini adalah satu buku yang saya sukar untuk lepaskan apabila sudah mula membaca. Kandungan As I Was Passing sebenarnya adalah himpunan 103 artikel yang ditulis oleh Adibah Amin pada tahun 1970-an di dalam ruangannya di dalam akhbar The New Straits Times.

Apa yang istimewa tentang buku ini? Pertama sekali, walaupun artikel-artikel yang dihimpunkan menceritakan tentang Malaysia pada tahun 1970-an dan zaman sebelum itu, saya dapati banyak sekali perkara yang diceritakan masih relevan sehingga ke hari ini. Baca saja tentang "Malaysian time" (halaman 8-11), "The social sin of the kedekut" (halaman 24-28) dan "Raya rampage" (halaman 192-195), sekadar memetik tiga contoh. Sifat timeless pada tulisan Adibah Amin ini membolehkan pembaca (sama ada yang tidak pernah melalui zaman itu atau yang telah lupa tentang zaman pra-1980-an) menghayati dan memahami apa yang hendak disampaikan.

Kedua, gaya penulisan Adibah Amin itu sendiri menjadi satu daya tarikan yang tersendiri. Bahasanya mudah, tetapi lenggok bahasa yang digunakannya amat istimewa sehingga membolehkan pembaca "jatuh cinta" kepada tulisan Adibah Amin. Tidak ramai penulis yang mampu melakukan perkara ini.

Ketiga, anekdot di dalam artikel-artikel Adibah Amin mempunyai humor yang mampu membuatkan pembaca tersenyum tanpa dipaksa. Lebih penting lagi, humor yang diselitkan adalah bersahaja dan tidak menyinggung sesiapa. Kalaupun Adibah Amin menulis tentang soal yang berhubung kait dengan agama, misalnya "Learning the Quran" (halaman 66-69) atau tentang sensitiviti budaya, seperti "Kiss my hand to say mama" (halaman 28-31), ianya dilakukan dengan begitu halus sehingga pembaca tidak rasa tersinggung langsung. Malah, pembaca berkemungkinan besar akan tersenyum atau mengangguk setuju. Saya kira ini adalah satu perkara yang tidak dipunyai oleh kebanyakan penulis zaman ini yang mungkin sekadar mengambil jalan pintas dengan menggunakan pendekatan sarkastik.

Keempat, banyak kisah di dalam buku As I Was Passing menyentuh tentang kehidupan masyarakat di negara ini yang sudah tidak lagi wujud. Misalnya "Pak Ali's TV" (halaman 22-24), "My bangsawan hero" (halaman 73-76) dan "Of ghazal and a golden girlhood" (halaman 97-100). Bagi generasi muda hari ini, saya kira kisah-kisah ini mampu memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai gaya hidup sebelum negara pesat membangun. Bagi yang melalui sendiri zaman tersebut, saya pasti kisah-kisah ini akan mengimbau nostalgia dahulukala.

Bagi saya, kisah-kisah ini mampu mengukir senyuman dan membawa kenangan pada zaman 1970-an. Buku As I Was Passing ini perlu dibaca oleh semua orang.


Penilaian: 5 bintang

Khamis, 19 Julai 2007

Ku Seru Kasihmu


Penulis: Izzul Izzati
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Tahun: 2007
Halaman:
528
Harga: RM19.00
Genre:
Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Dari mana datangnya kasih? Dari mata turun ke hati. Dalam diam cinta itu hadir. Tanpa sedar rasa rindu berbunga jua akhirnya. Memiliki kasih Hakimi dari alam kampus hanyalah mimpi indah Afrina semata-mata. Menjadi milik Hakimi apatah lagi. Impian semakin jauh, lantaran jejaka idaman turut menjadi rebutan dua orang sahabat baiknya sendiri. Dia sedia mengalah, memberikan laluan dan ruang biarpun hati sendiri sakit memendam rasa kecewa. Bertambah menjerut rasa tatkala Hakimi menyambut baik cinta salah seorang daripada mereka.

Namun sejauh mana kasih yang bersemi dapat dihindari, biarpun dia cuba untuk menjauhi. Sedangkan wajah Hakimi sentiasa hadir di ruang mata. Dugaan hadir tanpa dipinta, langsung tidak terlintas di fikiran. Musibah datang jua menimpa antara dia dan Hakimi. Suratan atau kebetulan? Sukar untuk ditafsirkan. Tetapi apa yang pasti, ada rahsia yang perlu diselindungkan. Ada cerita yang harus disembunyikan dan disimpan kemas daripada pengetahuan umum terutama kawan-kawannya. Kesulitan yang menjelma itu turut membuat Afrina tersepit antara diri, maruah keluarga dan sahabat baik sendiri. Hati siapakah yang perlu diutamakan? Hati siapa pula yang perlu dijaga? Kasihnya kepada Hakimi tidak boleh dibiarkan sepi. Cabaran Afrina, kasih Hakimi harus dimiliki dengan apa jua sekalipun. Namun relakah dia dikatakan sebagai "muka tembok" demi menyeru secebis kasih? Persoalannya... mampukah Afrina menyeru kasih Hakimi? Sedangkan cinta Hakimi tetap teguh kepada kekasih hati.


Ulasan:

Mulanya saya rasa berat untuk membaca novel setebal ini, apa lagi Ku Seru Kasihmu dengan jelas dan tanpa selindung membawakan tema cinta. Walau bagaimanapun, saya dapati sukar untuk meletakkan novel ini tatkala mula dibaca. Ya, memang ini kisah cinta lara orang muda, tetapi saya tertarik dengan cara kisah ini digarap oleh penulis.

Pembaca akan bersimpati dengan watak Afrina dan dilema serta masalah yang dihadapinya. Pembaca juga akan marah dengan watak Hakimi yang ego tetapi penakut untuk berhadapan dengan realiti. Pembaca turut akan rasa menyampah dengan watak Natasha yang banyak berahsia dan pentingkan diri. Dan pembaca akan terhibur dek gelagat watak-watak pembantu seperti Emilia, Kak Noor, Johar dan Hanum. Inilah aset yang dimiliki di dalam pengkisahan Ku Seru Kasihmu. Watak-wataknya diperkenalkan dan dibangunkan dengan baik oleh penulis sehingga pembaca akan terasa seperti menyaksikan sendiri kesedihan, kegembiraan, kemarahan dan kekecewaan watak-watak kisah ini.

Dari segi jalan cerita, saya dapati ianya berjaya membuatkan saya terus membaca dari awal hingga akhir. Malah, "musibah" yang disebut di dalam sinopsis novel ini adalah sesuatu yang tidak saya jangkakan sama sekali. Bagi saya, walaupun "musibah" ini hanya berlaku di dalam Bab 15, ianya menjadi teras dan penggerak utama kisah Ku Seru Kasihmu kerana segala-galanya bertitik tolak dari sini.

Akhiran kisah ini bagi saya adalah akhiran yang menggembirakan. Nyata Izzul Izzati tidak meninggalkan sebarang plot tergantung. Semua konflik dan permasalahan di dalam Ku Seru Kasihmu diberikan kesudahan yang kejap. Sama ada ianya akhiran yang dikehendaki oleh pembaca, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Bagi saya secara peribadi, akhiran kisah ini memberikan kepuasan kerana diulit dengan nilai-nilai kekeluargaan, silaturrahim dan kemaafan.

Novel Ku Seru Kasihmu ini membawakan identiti Kaki Novel Enterprise. Kulit novel terbitan Kaki Novel Enterprise nampaknya membawakan imej tersendiri yang lain daripada penerbit-penerbit yang lain. Saya kira ini strategi yang baik untuk menarik perhatian pembeli novel.

Cuma ada beberapa perkara yang ingin saya titipkan di sini. Ada di antaranya berupa teguran dan ada berupa cadangan penambahbaikan. Pertama, saya dapati saiz aksara atau mata fon yang digunakan terlalu kecil untuk saya. Saya faham andai mata fon yang lebih besar digunakan, ini akan menambah jumlah halaman dan seterusnya kos penerbitan. Namun saya harap pihak penerbit dapat juga mengambil kira pembaca yang rabun dekat dan mempunyai masalah astigmatisme.

Perkara kedua yang saya cukup terganggu adalah terdapat terlalu banyak kesilapan nahu dan penggunaan tanda bahasa. Paling ketara adalah penggunaan imbuhan "di" dan "ke" yang dijarakkan apabila digabungkan dengan kata kerja. Sepatutnya imbuhan "di" dan "ke" didekatkan apabila digunakan bersama kata kerja. Kesilapan ini berlaku dari awal hingga akhir novel ini. Kesilapan ketara yang kedua adalah ayat yang diakhiri dengan tanda koma dan bukannya tanda noktah. Ini berlaku terutamanya pada ayat dialog yang menggunakan tanda pembuka dan penutup kata. Sepatutnya jika tidak ada apa-apa ayat di akhir penutup kata, ayat dialog itu ditutup dengan tanda noktah dan bukannya tanda koma. Saya tidak pasti kenapa kesilapan-kesilapan yang begitu asas ini boleh berlaku. Saya tidak salahkan penulis sepenuhnya, cuma saya harap proses penyuntingan dan pembacaan pruf dapat dilakukan dengan lebih teliti untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan asas seperti ini daripada berlaku dan mencacatkan kisah yang diceritakan.

Perkara ketiga adalah mengenai kronologi kisah ini. Pada hemat saya, Bab 62 seperti tidak kena pada tempatnya. Pertemuan di antara Haliza dengan Azlan berlaku semasa Afrina berada di Johor. Ini agak janggal kerana di Bab 61, Afrina telah pulang dari Johor. Saya merasakan Bab 62 sepatutnya diletakkan sebelum Bab 61 untuk menjadikan kronologi kisah ini lebih licin.

Walau bagaimanapun, saya memang terhibur dengan Ku Seru Kasihmu, malah Bab 69 sehingga bab terakhir iaitu Bab 75 benar-benar menyentuh hati. Saya tidak terperanjat andai novel ini menjadi bestseller.


Penilaian: 3.5 bintang

Selasa, 17 Julai 2007

Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour


Penulis: Syed Ali Tawfik Al-Attas
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2007 (cetakan kedua)
Halaman: 113
Harga:
RM12.90
Genre: Fiksyen, humor
Pengantar:
Bahasa Inggeris


Sinopsis:

These chronicles of Malay humour are commonly shared between people of different geography. For example, in Arab-speaking countries, a common theme in most tales of humour and those exemplifying a moral code revolves around a man referred to as Johar (Juha); in the Persian-speaking milieu where the the theme remains the same, revolves around a man referred to as Mulla Nasruddin; in the Turkish-speaking milieu these narratives revolve around a man referred to as Hoca Nasruddin; whereas in the Malay-speaking world, the names Abu Nawas and Pak Pandir are commonly identified with humourous narratives, wit and tales which reflect codes of moral conduct.


Ulasan:

Menurut penulis buku Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour, buku ini adalah kompilasi kisah-kisah lucu Melayu. Terdapat 79 kisah yang dimuatkan di dalam buku ini dengan watak-watak seperti Pak Pandir, Pak Him dan Pak Lomak. Kisah-kisah ini bukanlah kisah Pak Pandir yang biasa kita dengar, sebaliknya kisah-kisah yang diletakkan di dalam konteks zaman semasa.

Memang kebanyakan kisah yang dimuatkan di dalam buku nipis ini agak lucu. Cuma saya terfikir sendirian, ada di antara kisah-kisah ini yang menonjolkan "kebodohan" orang Melayu dan menyentuh tentang agama dan orang agama. Dalam banyak kisah yang dikumpulkan ini, watak Pak Pandir digambarkan sebagai seorang imam dan kadi. Kisah "The Friday Sermon" (halaman 111-112) seperti memberikan gambaran khutbah Jumaat boleh dibuat bahan gurauan atau sindiran, manakala kisah "A Just Kiss" (halaman 51) dan kisah "Botox" (halaman 91) pula seperti memperlekehkan soal hukum. Ini sekadar mengambil beberapa contoh.

Saya faham niat Syed Ali Tawfik Al-Attas adalah untuk mengumpulkan kisah-kisah humor versi moden ini sebagai satu bahan bacaan santai yang ringan yang boleh memberikan kelegaan kepada stres kehidupan seharian. Memang ada moral di sebalik kisah-kisah ini, cuma saya terasa sedikit ralat apabila membaca sesetengah kisah ini. Perlukah kita mempermainkan, menyindir atau memperlekehkan orang agama untuk menimbulkan rasa lucu? Terasa sesetengah kisah di sini agak sarkastik. Entahlah, mungkin itu persepsi peribadi saya tetapi persepsi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru saya bahawa, "Sarcasm is the lowest form of wit."

Bagi saya, koleksi kisah di dalam Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour memberikan pembacanya modal sembang di kedai kopi. Ianya adalah bahan bacaan santai yang sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang ringan. Tidak perlu menjadi ahli falsafah atau ilmuwan hebat untuk memahami kisah-kisah di dalam buku ini.


Penilaian: 2.5 bintang

Selasa, 10 Julai 2007

Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson


Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit:
Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 267
Harga: RM16.00
Genre: Fiksyen sains, pengembaraan, penyiasatan
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Dalam lingkungan kristal azurite dan lapis lazuli mereka ditubi untuk mengoptimumkan IQ dan deria keenam, demi keamanan sejagat. Ya, keamanan adalah hak sejagat. Dan jagat sudah hilang batas bangsa, budaya, politik.

Mereka dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak diterasi iman dan takwa.


Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson membawa anda ke lokasi kes forensik di Sungai Congkak; kes kecurian catan di dewan pameran Dubai; dan kes penderaan warga emas hartawan.


Ulasan:

Terus terang saya katakan, saya sendiri tidak pasti kenapa saya membeli novel ini. Walaupun berkali-kali saya berkunjung ke MPH dan Kinokuniya, saya tidak tergerak langsung untuk membeli naskhah Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson. Kulit bukunya tidak langsung menarik perhatian, dan tajuknya juga tidak menggamit saya untuk membelinya. Mungkin hanya nama penulisnya yang saya kira menyebabkan akhirnya saya mendapatkan juga siri kedua di dalam Siri Detektif Indigo ini.

Harus juga saya katakan di peringkat ini bahawa saya belum lagi membaca siri pertama Detektif Indigo yang telah memperkenalkan watak-watak yang mewarnai kisah ini. Jadi pada peringkat awal, sedikit sukar untuk saya memahami kisah ini. Pun begitu, ini tidak menjadi penghalang besar kepada saya untuk mengikuti jalan cerita yang disajikan di dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson.

Novel ini sebenarnya rangkuman tiga kisah penyiasatan. Ikan fugu adalah satu cerita pembunuhan dua orang pelajar warga Iran. Lukisan pula kisah kecurian catan di Dubai. Manakala jimson pula kisah penderaan warga tua yang melibatkan kematian pembantunya. Dari segi penceritaan, ikan fugu adalah yang paling panjang, diikuti oleh lukisan dan yang paling pendek, kisah jimson. Bab terakhir novel ini pula memberikan pembaca satu gambaran awal tentang siri berikutnya.

Tanggapan pertama saya tatkala membaca Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson adalah ianya satu hibrid genre penyiasatan remaja yang dipopularkan oleh kisah-kisah Hardy Boys dan Nancy Drew dengan genre penyiasatan forensik yang popular di kaca televisyen hari ini seperti CSI, NCIS dan Bones, malah mungkin juga dipengaruhi oleh siri novel klasik Sherlock Holmes yang banyak menggunakan teknik pencerapan dan deduksi untuk menyelesaikan kes-kes yang disiasat. Cuma ada dua perbezaan ketara dengan kisah-kisah dari Barat ini. Pertama, watak-watak detektif indigo mempunyai kelebihan deria keenam yang membolehkan mereka berkomunikasi secara telepati. Dan kedua, Faisal Tehrani mengulitkan nilai-nilai iman, takwa dan akhlak ke dalam penceritaannya.

Daripada ketiga-tiga kisah yang disajikan di dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson, saya paling terhibur dengan kisah yang ketiga kerana keletah watak utamanya iaitu Rabiah Zaitun. Dialog di antara Sarjan Rahim dengan Rabiah Zaitun mengundang senyum pada diri saya kerana ianya satu komentar mengenai satu isu besar yang pernah menggemparkan negara kurang lebih sedekad yang lalu. [Menarik pilihan nama bagi watak "Sarjan Rahim" di sini].

Sementara itu, kisah kedua saya dapati menjadi sedikit meleret kerana komentar isu semasa yang dilontarkan oleh Faisal Tehrani. Walaupun komentar tentang Islam liberal itu diselit ke dalam perwatakan Mihrimah Maryam terutamanya, saya dapati ianya sedikit mengganggu kelancaran penceritaan (sekalipun saya bersetuju dengan pandangan Faisal Tehrani itu). Jika komentar itu dilakukan secara yang lebih halus seperti yang dilakukan di dalam kisah ketiga (jimson), saya pasti ianya akan lebih membantu melicinkan jalan penceritaan.

Secara keseluruhannya, sebagai seorang yang agak biasa dengan kisah-kisah penyiasatan, saya dapati plot penceritaan agak mudah untuk diagak. Ini mungkin kerana tidak banyak watak yang terlibat, jadi tidak sukar untuk menelah siapa yang bersalah berdasarkan pelbagai klu yang ditabur di sana sini oleh Faisal Tehrani sepanjang ceritanya.

Cuma mungkin saya sedikit terganggu dengan kesilapan ejaan di sana sini. Seharusnya ini tidak berlaku bagi sebuah terbitan daripada penerbit yang besar seperti Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tidak pasti saya mengapa Cyberjaya dieja sebagai "Cyber Jaya" (halaman 4) dan Vincent van Gogh dieja sebagai "Vincent Van Gugh" (halaman 153) - sekadar menyebut dua contoh. Saya juga berharap penggunaan istilah sains juga dilakukan dengan lebih berhati-hati. Kesilapan ketara yang saya kesan ialah istilah "ion sodium" (halaman 31). Di dalam istilah sains bagi Bahasa Malaysia, tidak ada istilah "sodium." Sodium adalah istilah Bahasa Inggeris yang merujuk kepada unsur dengan simbul Na. Di dalam Bahasa Malaysia, istilah yang sepatutnya digunakan adalah "ion natrium." Ini satu kesilapan pada tahap yang paling asas yang seharusnya tidak berlaku.

Walau apa sekalipun, saya kira Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson mampu menjadi sajian alternatif kepada pembaca remaja yang dahagakan kisah penyiasatan.


Penilaian: 3 bintang

Pudarnya Pesona Cleopatra


Penulis: Habiburrahman El Shirazy
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn Bhd
Tahun: 2007 (Edisi Malaysia)
Halaman: 125
Harga:
RM11.90
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Tak terasa air mataku mengalir, dadaku sebak kerana rasa terharu yang teramat sangat. Tangisanku mulai gugur dalam isak tangisanku, semua kebaikan Raihana yang selama ini mulai terbayang di benak fikiran ku. Wajahnya yang teduh bagaikan baby face, pengorbanan serta pengabdiannya yang tiada putusnya, dengan suaranya yang lembut, tangisannya yang mengalirkan perasaan haru dan cinta. Benar cinta itu datang dalam keharuan yang aku rasakan. Di saat keharuan yang aku rasai, ada hawa sejuk yang turun dari langit dan menusuk masuk dalam jiwaku. Pada ketika itu, pesona terhadap kecantikan Cleopatra mulai pudar...

Segera ku kejar waktu untuk membuktikan cintaku pada Raihana. Membuktikan rinduku yang tiba-tiba memenuhi setiap rongga dada ini. Air mataku berderai-derai ku pecut laju kenderaan ku dengan diiringi deraian air mata yang tiada hentinya membasahi setiap perjalanan ku pada saat itu aku tak peduli lagi, aku ingin segera sampai dan meluahkan semua rasa cinta ini padanya yang berhati mulia. Begitu sampai di halaman rumah mertua, tangisan ku sudah tidak dapat ditahan lagi. Ku tahan jua sambil menarik nafas panjang dan mengusap air mata yang gugur. Melihat kedatangan ku ibu mertua serta merta memelukku dan menangis terisak-isak. Aku jadi hairan dan turut sama menangis.


"Mana Raihana bu?"


Ibu mertua hanya menangis dan terus menangis. Aku terus bertanya apa sebenarnya yang terjadi.

"Isterimu, Raihana dan anakmu yang dalam kandungannya!"

"Ada apa dengan dia!"


"Dia..."


Ulasan:

Secara peribadi, sebenarnya saya kurang gemarkan karya penulis-penulis dari seberang. Hanya beberapa penulis Indonesia yang benar-benar saya ikuti tulisan mereka, itu pun kebanyakannya buku-buku agama. Namun, saya terpanggil untuk membeli novel ini, mungkin kerana Pudarnya Pesona Cleopatra menggunakan "Novel Psikologi Islam Pembangun Jiwa" sebagai tagline pada kulit depannya.

Saya akan mulakan ulasan ini dengan beberapa kritikan ikhlas terlebih dahulu. Pertama sekali, bagi saya ini bukanlah novel dalam erti kata sebenar. Ini kerana Pudarnya Pesona Cleopatra adalah antologi dua novel pendek. Novel pendek pertama adalah "Pudarnya Pesona Cleopatra" manakala novel pendek kedua bertajuk "Setitis Embun Cinta Niyala." Bagi saya, seharusnya perkara ini tidak diselindungi daripada pembeli. Hari ini kebanyakan novel yang dijual di kedai-kedai buku disaluti dengan plastik, mustahil bagi pembeli untuk mengetahui apa isi kandungan buku yang dibelinya. Justeru, kejujuran penerbit perlu ada dengan memaparkan pada kulit depan atau kulit belakang bahawasanya ini adalah antologi novel pendek (atau novel mini - istilah yang digunakan di dalam novel ini). Saya menjangkakan Pudarnya Pesona Cleopatra adalah satu cerita tetapi sebenarnya mengandungi dua cerita yang berbeza dan tidak bersangkutan di antara satu dengan yang lain.

Keduanya, seperti hampir semua karya dari Indonesia, wujud masalah bahasa. Walaupun Pudarnya Pesona Cleopatra nampaknya tidak menghadapi masalah yang serius mengenai hal ini, saya masih terasa kurang selesa apabila terjumpa beberapa kesilapan nahu dan ejaan yang tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak mengharapkan karya ini sempurna tetapi setidak-tidaknya usaha yang lebih baik perlu dilakukan untuk memastikan agar kesilapan asas tidak berlaku.

Dari segi cerita dan penceritaan, saya akui saya terpaut dengan novel pendek yang pertama. Kisah kesetiaan gadis bernama Raihana memang meruntun jiwa pembaca. Novel pendek kedua pula mempunyai akhiran cerita yang lebih menceriakan. Walau bagaimanapun, kedua-dua novel pendek ini mengandungi mesej dan iktibar yang tersendiri. Tidak dinafikan bahawa kedua-duanya kisah cinta tetapi kisah cinta yang dipaparkan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Cuma saya tidak begitu puas kerana kedua-dua cerita ini agak pendek. Pembangunan watak dilakukan agak tergesa-gesa apa lagi dengan penggunaan watak Pak Qalyubi sebagai deus ex machina untuk membawa kesedaran kepada suami Raihana terasa seperti dipaksa.

Memang terasa sebenarnya perbezaan apabila membaca karya dari Indonesia dengan karya penulis Malaysia. Saya masih cenderung ke arah penulisan dari Malaysia berbanding Indonesia. Namun demikian, ada kalanya ada perkara yang boleh kita pelajari daripada penulis negara jiran ini.

Cuma saya kepingin sekali mahu melihat karya dari negara kita dapat dipasarkan di Indonesia. Jika karya dari Indonesia boleh disesuaikan menggunakan Bahasa Malaysia untuk khalayak pembaca Malaysia, mengapa tidak karya negara kita disesuaikan dengan Bahasa Indonesia untuk khalayak di sana?


Penilaian: 3 bintang

Selasa, 3 Julai 2007

X-Factor: The Longest Night

Penulis: Peter David
Artis (pensil): Ryan Sook dan Dennis Calero
Artis (dakwat): Wade Von Grawbadger dan Dennis Calero
Artis (warna): Jose Villarrubia
Penerbit: Marvel Publishing, Inc.
Tahun: 2006
Halaman: Tidak dinyatakan
Harga: RM68.17 (USD19.99) - kulit tebal / RM51.12 (USD14.99) - kulit nipis
Genre: Fiksyen sains
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

In the fallout from House of M and following the surprise film-noir hit MadroX, a new mutant team is forged! X-Factor is an investigative mutant agency that includes Madrox, the multiple man; Guido, the strong guy; Wolfsbane, the shape-shifter; Siryn, the chorus girl; Rictor, the living earthquake; and Generation X's Monet, the pompous witch. Drawn together in the heart of Mutant Town, this rag-tag band of heroes has a lot of answers to find. And fast! Bonus: A key player from House of M will play a major role in X-Factor! (No. It's not Wolverine - sigh.)


Ulasan:

Seperti yang saya nyatakan di dalam ulasan mengenai Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi beberapa minggu lepas, saya memang hantu komik. Justeru, dari semasa ke semasa, saya akan mengulas tentang karya komik seperti X-Factor: The Longest Night ini. Ulasan ini juga ulasan kedua pada minggu ini - satu bonus yang akan saya lakukan apabila ada kesempatan dan keluangan masa.

X-Factor: The Longest Night merupakan kompilasi siri komik X-Factor jilid kedua keluaran 1 hingga 6 yang diterbitkan oleh Marvel. Sebenarnya kumpulan X-Factor yang diketengahkan di dalam novel grafik ini adalah jelmaan ketiga. Jelmaan pertama terdiri daripada ahli-ahli asal X-Men iaitu Cyclops, Marvel Girl, Iceman, Beast dan Angel (kemudiannya menjadi Archangel). Jelmaan pertama ini bertindak sebagai sebuah kumpulan bebas yang menjejaki mutan-mutan untuk dilindungi. Bagi yang telah menonton filem cereka X-Men dan sekuel-sekuelnya, pasti akan dapat mengenal pasti watak-watak ini. Jelmaan kedua kumpulan X-Factor ini pula merupakan sebuah kumpulan yang ditaja oleh kerajaan Amerika Syarikat, dan terdiri daripada Havok, Polaris, Strong Guy, Multiple Man, Wolfsbane, Quicksilver dan Valerie Cooper, yang kemudiannya disertai juga oleh watak-watak lain seperti Forge, Shard, Wild Child, Mystique, Sabretooth, Fixx, Archer dan Greystone. Kini, X-Factor muncul dengan penampilan terbaru dengan ahli-ahlinya Multiple Man, Strong Guy, Wolfsbane, Rictor, Siryn, Monet dan Layla Miller.

Keliru? Memang begitulah kalau cuba hendak memahami dan mengikuti siri komik yang mempunyai sejarah yang kompleks. Okey, kita balik kepada ulasan. Peter David yang menjadi penulis kisah X-Factor: The Longest Night sebenarnya merupakan seorang novelis dan penulis siri komik yang sudah terkenal dengan genre fantasi dan fiksyen sains di Amerika Syarikat. Beliau yang terkenal dengan novel-novel Star Trek dan juga siri komik seperti The Incredible Hulk, Friendly Neighborhood Spider-Man, Supergirl, Aquaman dan Fallen Angel merupakan antara penulis yang prolifik. Jadi tidak hairanlah kisah yang dipaparkan di dalam novel grafik ini (walaupun tidak menggunakan watak jahat yang dikenali ramai), tetap menarik perhatian. Peter David telah mengadunkan aspek pembinaan watak dan humor ke dalam penceritaan X-Factor: The Longest Night menjadikannya satu bahan bacaan santai yang berkesan.

Pada pandangan saya, X-Factor: The Longest Night adalah sesuai bagi mereka yang memang meminati watak-watak mutan di dalam komik-komik Marvel, atau mereka yang mengikuti penulisan Peter David. Jika anda bukan tergolong di dalam dua kategori ini, maka novel grafik ini bukan untuk anda. Bagi saya yang sememangnya hantu komik yang tidak berapa minat dengan watak-watak mutan tetapi mengikuti penulisan Peter David, saya tidak rasa kecewa dengan novel grafik ini.

Kalaulah ada komik tempatan yang boleh mencapai tahap seperti komik-komik terbitan syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan Jepun...


Penilaian: 3.5 bintang

Sangeetha


Penulis: Azizi Haji Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2006
Halaman: 561
Harga: Tidak dinyatakan pada kulit (dibeli dengan harga RM35.00 di MPH)
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Cinta tidak mengenal usia, rupa, darjat, bangsa dan agama. Cinta yang terluah dan disambut, alangkah indahnya. Cinta yang terhalang derita jadinya. Namun, bagaimana jika cinta itu cinta terpendam, datang tanpa diundang, keliru antara sayang dan kasihan? Kata orang, adat muda menanggung rindu, namun jika orang tua yang memendam rasa, bagaimana?

Kain basahan ikat di beranda,
Letak belati di hujung perahu;
Kasihan ada ingat pun ada,
Retak di hati siapalah yang tahu.

Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu;
Jika bercinta menyesal jangan,
Ada rang tua sembunyi rindu.

Sangeetha, cerita cinta terpendam antara warga emas India dengan Melayu yang tidak diluahkan melalui kata-kata. Bagaimana kesudahannya?


Ulasan:

Rasanya tidak salah kalau saya katakan bahawa pasaran novel tempatan telah sarat dengan novel cinta. Cinta apa? Cinta remaja, cinta orang muda, cinta Romeo dan Juliet. Sangeetha juga kisah cinta. Tapi cinta yang dikisahkan di sini lain daripada yang lain. Setidak-tidaknya cinta di antara watak Derus dengan watak Sangeetha adalah sesuatu yang - setakat pengetahuan saya - belum pernah diterbitkan di dalam bentuk novel.

Saya kira Azizi Haji Abdullah berani menyentuh isu cinta antara dua ras dan agama yang berbeza. Penulis meniti satu garis yang halus yang jika tidak berhati-hati boleh menjebakkan novel ini ke dalam kancah kontroversi, sensitiviti dan polemik yang tidak akan berkesudahan. Malah, awalan cerita ini sahaja boleh ditafsir sebagai "subjek sensitif" bagi mereka yang tidak boleh dicuit atau dirangsang pemikiran. Bagi saya, apa yang dipaparkan oleh Azizi Haji Abdullah menerusi kisah Sangeetha ini sebenarnya adalah realiti yang banyak berlaku di dalam masyarakat. Cuma mungkin kita yang tidak mahu melihat atau mengakui hakikat ini. Tatkala saya membaca Sangeetha, saya terasa seperti mengikuti berita tentang perkembangan semasa yang menyentuh isu Islam atau tidak Islam seseorang yang zahirnya nampak seperti bukan Islam. Memang subjek ini subjek yang sensitif, tapi saya rasa pendekatan yang diambil oleh penulis adalah pendekatan yang berhikmah.

Secara peribadi, kisah Sangeetha adalah satu kisah yang perlu diceritakan. Ini kerana ianya adalah kisah yang memang berlaku di dalam masyarakat. Ianya bukan kisah cinta monyet remaja atau kisah cinta lara orang muda. Kisah ini sarat dengan peringatan dan pengajaran kepada kita semua. Cinta itu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Dan memang benar, cinta itu tidak mengenal batas usia, sempadan bangsa atau perbezaan agama. Itulah satu hakikat yang tidak boleh sama sekali kita nafikan.

Saya terhibur dengan gaya penceritaan Azizi Haji Abdullah. Beliau banyak menggunakan slanga utara dengan menyelitkan perkataan-perkataan seperti - sekadar menyebut beberapa contoh - "kernyeh," "linglung," "jerumun" dan "kejipan" di sana sini. Bahasanya mudah dan indah. Saya terasa seperti "diserap" masuk ke dalam kisah Sangeetha ini. Azizi Haji Abdullah juga memperkenalkan kepada pembaca dunia gambus dan tabla. Dua kesenian berbeza tetapi nampak boleh serasi bersama. Istilah-istilah teknikal yang melibatkan tabla terutamanya memberikan banyak maklumat baru kepada pembaca mengenai kesenian India ini.

Bagi saya, ini adalah satu kisah yang mengajak pembacanya berfikir. Klimaks kisah ini juga meletakkan kita semua selaku pembaca di dalam satu situasi yang memerlukan kita untuk memerah otak kita. Apakah yang akan kita lakukan jika kita berada di dalam situasi sedemikian? Tidak semudah yang kita fikirkan sebenarnya.


Penilaian: 5 bintang