Selasa, 10 Julai 2007
Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 267
Harga: RM16.00
Genre: Fiksyen sains, pengembaraan, penyiasatan
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Dalam lingkungan kristal azurite dan lapis lazuli mereka ditubi untuk mengoptimumkan IQ dan deria keenam, demi keamanan sejagat. Ya, keamanan adalah hak sejagat. Dan jagat sudah hilang batas bangsa, budaya, politik.
Mereka dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak diterasi iman dan takwa.
Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson membawa anda ke lokasi kes forensik di Sungai Congkak; kes kecurian catan di dewan pameran Dubai; dan kes penderaan warga emas hartawan.
Ulasan:
Terus terang saya katakan, saya sendiri tidak pasti kenapa saya membeli novel ini. Walaupun berkali-kali saya berkunjung ke MPH dan Kinokuniya, saya tidak tergerak langsung untuk membeli naskhah Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson. Kulit bukunya tidak langsung menarik perhatian, dan tajuknya juga tidak menggamit saya untuk membelinya. Mungkin hanya nama penulisnya yang saya kira menyebabkan akhirnya saya mendapatkan juga siri kedua di dalam Siri Detektif Indigo ini.
Harus juga saya katakan di peringkat ini bahawa saya belum lagi membaca siri pertama Detektif Indigo yang telah memperkenalkan watak-watak yang mewarnai kisah ini. Jadi pada peringkat awal, sedikit sukar untuk saya memahami kisah ini. Pun begitu, ini tidak menjadi penghalang besar kepada saya untuk mengikuti jalan cerita yang disajikan di dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson.
Novel ini sebenarnya rangkuman tiga kisah penyiasatan. Ikan fugu adalah satu cerita pembunuhan dua orang pelajar warga Iran. Lukisan pula kisah kecurian catan di Dubai. Manakala jimson pula kisah penderaan warga tua yang melibatkan kematian pembantunya. Dari segi penceritaan, ikan fugu adalah yang paling panjang, diikuti oleh lukisan dan yang paling pendek, kisah jimson. Bab terakhir novel ini pula memberikan pembaca satu gambaran awal tentang siri berikutnya.
Tanggapan pertama saya tatkala membaca Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson adalah ianya satu hibrid genre penyiasatan remaja yang dipopularkan oleh kisah-kisah Hardy Boys dan Nancy Drew dengan genre penyiasatan forensik yang popular di kaca televisyen hari ini seperti CSI, NCIS dan Bones, malah mungkin juga dipengaruhi oleh siri novel klasik Sherlock Holmes yang banyak menggunakan teknik pencerapan dan deduksi untuk menyelesaikan kes-kes yang disiasat. Cuma ada dua perbezaan ketara dengan kisah-kisah dari Barat ini. Pertama, watak-watak detektif indigo mempunyai kelebihan deria keenam yang membolehkan mereka berkomunikasi secara telepati. Dan kedua, Faisal Tehrani mengulitkan nilai-nilai iman, takwa dan akhlak ke dalam penceritaannya.
Daripada ketiga-tiga kisah yang disajikan di dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson, saya paling terhibur dengan kisah yang ketiga kerana keletah watak utamanya iaitu Rabiah Zaitun. Dialog di antara Sarjan Rahim dengan Rabiah Zaitun mengundang senyum pada diri saya kerana ianya satu komentar mengenai satu isu besar yang pernah menggemparkan negara kurang lebih sedekad yang lalu. [Menarik pilihan nama bagi watak "Sarjan Rahim" di sini].
Sementara itu, kisah kedua saya dapati menjadi sedikit meleret kerana komentar isu semasa yang dilontarkan oleh Faisal Tehrani. Walaupun komentar tentang Islam liberal itu diselit ke dalam perwatakan Mihrimah Maryam terutamanya, saya dapati ianya sedikit mengganggu kelancaran penceritaan (sekalipun saya bersetuju dengan pandangan Faisal Tehrani itu). Jika komentar itu dilakukan secara yang lebih halus seperti yang dilakukan di dalam kisah ketiga (jimson), saya pasti ianya akan lebih membantu melicinkan jalan penceritaan.
Secara keseluruhannya, sebagai seorang yang agak biasa dengan kisah-kisah penyiasatan, saya dapati plot penceritaan agak mudah untuk diagak. Ini mungkin kerana tidak banyak watak yang terlibat, jadi tidak sukar untuk menelah siapa yang bersalah berdasarkan pelbagai klu yang ditabur di sana sini oleh Faisal Tehrani sepanjang ceritanya.
Cuma mungkin saya sedikit terganggu dengan kesilapan ejaan di sana sini. Seharusnya ini tidak berlaku bagi sebuah terbitan daripada penerbit yang besar seperti Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tidak pasti saya mengapa Cyberjaya dieja sebagai "Cyber Jaya" (halaman 4) dan Vincent van Gogh dieja sebagai "Vincent Van Gugh" (halaman 153) - sekadar menyebut dua contoh. Saya juga berharap penggunaan istilah sains juga dilakukan dengan lebih berhati-hati. Kesilapan ketara yang saya kesan ialah istilah "ion sodium" (halaman 31). Di dalam istilah sains bagi Bahasa Malaysia, tidak ada istilah "sodium." Sodium adalah istilah Bahasa Inggeris yang merujuk kepada unsur dengan simbul Na. Di dalam Bahasa Malaysia, istilah yang sepatutnya digunakan adalah "ion natrium." Ini satu kesilapan pada tahap yang paling asas yang seharusnya tidak berlaku.
Walau apa sekalipun, saya kira Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson mampu menjadi sajian alternatif kepada pembaca remaja yang dahagakan kisah penyiasatan.
Penilaian: 3 bintang
Kategori
Bahasa Malaysia,
fiksyen sains,
novel,
pengembaraan,
penyiasatan,
remaja,
ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan