Khamis, 19 Julai 2007
Ku Seru Kasihmu
Penulis: Izzul Izzati
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Tahun: 2007
Halaman: 528
Harga: RM19.00
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Dari mana datangnya kasih? Dari mata turun ke hati. Dalam diam cinta itu hadir. Tanpa sedar rasa rindu berbunga jua akhirnya. Memiliki kasih Hakimi dari alam kampus hanyalah mimpi indah Afrina semata-mata. Menjadi milik Hakimi apatah lagi. Impian semakin jauh, lantaran jejaka idaman turut menjadi rebutan dua orang sahabat baiknya sendiri. Dia sedia mengalah, memberikan laluan dan ruang biarpun hati sendiri sakit memendam rasa kecewa. Bertambah menjerut rasa tatkala Hakimi menyambut baik cinta salah seorang daripada mereka.
Namun sejauh mana kasih yang bersemi dapat dihindari, biarpun dia cuba untuk menjauhi. Sedangkan wajah Hakimi sentiasa hadir di ruang mata. Dugaan hadir tanpa dipinta, langsung tidak terlintas di fikiran. Musibah datang jua menimpa antara dia dan Hakimi. Suratan atau kebetulan? Sukar untuk ditafsirkan. Tetapi apa yang pasti, ada rahsia yang perlu diselindungkan. Ada cerita yang harus disembunyikan dan disimpan kemas daripada pengetahuan umum terutama kawan-kawannya. Kesulitan yang menjelma itu turut membuat Afrina tersepit antara diri, maruah keluarga dan sahabat baik sendiri. Hati siapakah yang perlu diutamakan? Hati siapa pula yang perlu dijaga? Kasihnya kepada Hakimi tidak boleh dibiarkan sepi. Cabaran Afrina, kasih Hakimi harus dimiliki dengan apa jua sekalipun. Namun relakah dia dikatakan sebagai "muka tembok" demi menyeru secebis kasih? Persoalannya... mampukah Afrina menyeru kasih Hakimi? Sedangkan cinta Hakimi tetap teguh kepada kekasih hati.
Ulasan:
Mulanya saya rasa berat untuk membaca novel setebal ini, apa lagi Ku Seru Kasihmu dengan jelas dan tanpa selindung membawakan tema cinta. Walau bagaimanapun, saya dapati sukar untuk meletakkan novel ini tatkala mula dibaca. Ya, memang ini kisah cinta lara orang muda, tetapi saya tertarik dengan cara kisah ini digarap oleh penulis.
Pembaca akan bersimpati dengan watak Afrina dan dilema serta masalah yang dihadapinya. Pembaca juga akan marah dengan watak Hakimi yang ego tetapi penakut untuk berhadapan dengan realiti. Pembaca turut akan rasa menyampah dengan watak Natasha yang banyak berahsia dan pentingkan diri. Dan pembaca akan terhibur dek gelagat watak-watak pembantu seperti Emilia, Kak Noor, Johar dan Hanum. Inilah aset yang dimiliki di dalam pengkisahan Ku Seru Kasihmu. Watak-wataknya diperkenalkan dan dibangunkan dengan baik oleh penulis sehingga pembaca akan terasa seperti menyaksikan sendiri kesedihan, kegembiraan, kemarahan dan kekecewaan watak-watak kisah ini.
Dari segi jalan cerita, saya dapati ianya berjaya membuatkan saya terus membaca dari awal hingga akhir. Malah, "musibah" yang disebut di dalam sinopsis novel ini adalah sesuatu yang tidak saya jangkakan sama sekali. Bagi saya, walaupun "musibah" ini hanya berlaku di dalam Bab 15, ianya menjadi teras dan penggerak utama kisah Ku Seru Kasihmu kerana segala-galanya bertitik tolak dari sini.
Akhiran kisah ini bagi saya adalah akhiran yang menggembirakan. Nyata Izzul Izzati tidak meninggalkan sebarang plot tergantung. Semua konflik dan permasalahan di dalam Ku Seru Kasihmu diberikan kesudahan yang kejap. Sama ada ianya akhiran yang dikehendaki oleh pembaca, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Bagi saya secara peribadi, akhiran kisah ini memberikan kepuasan kerana diulit dengan nilai-nilai kekeluargaan, silaturrahim dan kemaafan.
Novel Ku Seru Kasihmu ini membawakan identiti Kaki Novel Enterprise. Kulit novel terbitan Kaki Novel Enterprise nampaknya membawakan imej tersendiri yang lain daripada penerbit-penerbit yang lain. Saya kira ini strategi yang baik untuk menarik perhatian pembeli novel.
Cuma ada beberapa perkara yang ingin saya titipkan di sini. Ada di antaranya berupa teguran dan ada berupa cadangan penambahbaikan. Pertama, saya dapati saiz aksara atau mata fon yang digunakan terlalu kecil untuk saya. Saya faham andai mata fon yang lebih besar digunakan, ini akan menambah jumlah halaman dan seterusnya kos penerbitan. Namun saya harap pihak penerbit dapat juga mengambil kira pembaca yang rabun dekat dan mempunyai masalah astigmatisme.
Perkara kedua yang saya cukup terganggu adalah terdapat terlalu banyak kesilapan nahu dan penggunaan tanda bahasa. Paling ketara adalah penggunaan imbuhan "di" dan "ke" yang dijarakkan apabila digabungkan dengan kata kerja. Sepatutnya imbuhan "di" dan "ke" didekatkan apabila digunakan bersama kata kerja. Kesilapan ini berlaku dari awal hingga akhir novel ini. Kesilapan ketara yang kedua adalah ayat yang diakhiri dengan tanda koma dan bukannya tanda noktah. Ini berlaku terutamanya pada ayat dialog yang menggunakan tanda pembuka dan penutup kata. Sepatutnya jika tidak ada apa-apa ayat di akhir penutup kata, ayat dialog itu ditutup dengan tanda noktah dan bukannya tanda koma. Saya tidak pasti kenapa kesilapan-kesilapan yang begitu asas ini boleh berlaku. Saya tidak salahkan penulis sepenuhnya, cuma saya harap proses penyuntingan dan pembacaan pruf dapat dilakukan dengan lebih teliti untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan asas seperti ini daripada berlaku dan mencacatkan kisah yang diceritakan.
Perkara ketiga adalah mengenai kronologi kisah ini. Pada hemat saya, Bab 62 seperti tidak kena pada tempatnya. Pertemuan di antara Haliza dengan Azlan berlaku semasa Afrina berada di Johor. Ini agak janggal kerana di Bab 61, Afrina telah pulang dari Johor. Saya merasakan Bab 62 sepatutnya diletakkan sebelum Bab 61 untuk menjadikan kronologi kisah ini lebih licin.
Walau bagaimanapun, saya memang terhibur dengan Ku Seru Kasihmu, malah Bab 69 sehingga bab terakhir iaitu Bab 75 benar-benar menyentuh hati. Saya tidak terperanjat andai novel ini menjadi bestseller.
Penilaian: 3.5 bintang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan