Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Rabu, 8 Ogos 2007

Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia


Penulis: Muhammad ibn Muhammad ibn Juzayy al-Kalbi (tidak dikreditkan di kulit hadapan)
Penterjemah: Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan Adi Setia Mohd. Dom
Penyunting: Ismail Haji Ibrahim dan Wan Roslili Ab. Majid
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tahun: 2003
Halaman: 967
Harga: RM250
Genre: Bukan fiksyen, sejarah, pengembaraan
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Pada Jun 1325M., Ibn Battutah atau nama penuhnya Abu 'Abdillah Muhammad ibn 'Abdillah ibn Muhammad ibn Ibrahim al-Lawati, meninggalkan Tangier untuk menunaikan haji di Makkah. Di kota suci inilah, keinginan untuk mengembara tercetus dalam dirinya dan Ibn Battutah benar-benar menjadikannya suatu kenyataan. Beliau mengembara ke segenap pelosok dunia Islam yang luas bermula dari Afrika Utara hinggalah negeri China dan kemudian pulang ke negeri asalnya. Pengembaraan sejauh 120,000 kilometer merentas benua Afrika, Eropah dan Asia merupakan satu penjelajahan dunia terhebat yang memartabatkan Ibn Battutah sebagai tokoh pengembara paling terkemuka dalam sejarah. Setelah puas mengembara selama tiga dekad, Ibn Battutah akhirnya pulang ke Fez, Maghribi pada 1354M. dan di kota Fez inilah kisah beliau mula diabadikan.

Kisah panjang yang penuh dramatik ini akhirnya dirakam indah dalam sebuah karya Arab klasik berjudul Rihlah Ibn Battutah al-Musammah Tuhfah al-Nuzzar fi Ghara'ib al-Amsar wa 'Aja'ib al-Asfar. Penulisan karya ini dititahkan oleh Maulana Abu 'Inan, Sultan Maghribi daripada Bani Marin yang memerintah ketika itu berjaya disempurnakan oleh jurutulis baginda, Ibn Juzayy, sasterawan Andalus yang berasal dari Granada. Ibn Juzayy berusaha sepenuh daya, mengumpulkan catatan dan menulis kisah suka dan duka yang disampaikan oleh Ibn Battutah. Dalam penyampaiannya, Ibn Battutah jelas memperlihatkan kehebatan dalam teknik penceritaan yang menghiburkan. Sebagai hasilnya, lahirlah karya ini yang diperindah bahasa dan dimudahkan pendekatannya oleh Ibn Juzayy sehingga membolehkan pembaca memahami serta menghayati setiap kisah yang dipaparkan. Lebih penting lagi, wacananya tidak terpisah daripada tradisi kesejagatan sifat semula jadi manusia.

Karya ini disifatkan oleh sarjana sebagai kemuncak kecemerlangan penulisan genre sastera pengembaraan. Sesungguhnya, karya terjemahan Pengembaraan Ibn Battutah ini umpama jendela yang membolehkan khalayak pembaca melihat visual tamadun Islam yang dirakamkan dengan sedemikian hidup oleh Ibn Battutah. Ia amat kaya dengan maklumat tentang dunia wacana Islam, geografi, sejarah, antropologi dan juga budaya. Penterjemahan karya ini ke bahasa Melayu diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna dalam pemasyhuran serta penyebarluasan karya-karya klasik Islam dan pengayaan khazanah ilmu negara oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), khusus untuk tatapan masyarakat.


Ulasan:

Saya beruntung kerana memiliki cetakan pertama karya penterjemahan ini. Saya difahamkan bahawa karya ini sudah diulang cetak beberapa kali dan menjadi bestseller di kedai-kedai buku. Walaupun sudah memasuki tahun keempat karya ini berada di tangan saya, ini adalah satu karya yang saya tidak jemu-jemu mengulang baca. Kisah yang dipaparkan menerusi Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia sememangnya suatu yang amat unik untuk dibaca. Lupakan saja Marco Polo, Amerigo Vespucci, Christopher Columbus dan Vasco da Gama. Sesungguhnya umat Islam beruntung kerana dianugerahkan Allah SWT dengan seorang insan yang bernama Ibn Battutah.

Ibn Battutah tidak menulis sendiri karya ini, sebaliknya tugas penulisan dilakukan oleh Ibn Juzayy. Namun, membaca kisah-kisah yang tercatat di dalam karya ini memberikan peluang kepada kita yang hidup hampir 700 tahun selepas Ibn Battutah untuk "mengikuti" pengembaraannya yang menakjubkan. Bukan mudah menterjemahkan karya bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu tetapi nampaknya penterjemah-penterjemah dari Institut Kefahaman Islam Malaysia telah melakukan tugas yang baik. Bahasa yang digunakan begitu lancar dan mudah difahami tanpa menghilangkan aura dan persekitaran yang dicetuskan oleh Ibn Battutah di dalam pengkisahannya.

Saya berpandangan karya penterjemahan Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia ini perlu dibaca oleh generasi Muslim hari ini. Harganya mungkin mahal tetapi pengalaman membacanya amat berbaloi dan memuaskan.


Penilaian: 5 bintang

1 ulasan:

Nuraliyah berkata...

Assalamualaikum,

Buku ini mmg sy juga beri 5 bintang. Ketika zmn belajar di uni dulu, sy meminjam buku ini krn naskah ini sgt unik. Walaupun tidak sempat menghabiskan pembacaan krn ruang waktu yg sempit, namun buku ini sgt mengujakan. Terasa seperti mengikut Ibn Battutah mengembara. Beliau pengembara ulung! Dan bab yg paling sy sukai apabila beliau menceritakan melawat salah satu tempat di Kepulauan Melayu. Beliau memakai pakaian tradisi kita. Hingga saat ini sy masih memburu buku ini, dan berharap dapat memilikinya sbg bahan bacaan untuk anak-anak spy lebih berinspirasi dalam hidup.