Sabtu, 11 Ogos 2007
Kasih Seharum Lavender
Penulis: Eita Ashyta
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Tahun: 2007 (cetakan keempat)
Halaman: 621
Harga: RM19.00
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Pada suatu detik itu, dirinya mewah dengan kasih sayang. Dia punya Ummi yang penyayang, seorang abang yang prihatin dan Nurul Adlynn, teman akrab yang dikenalinya sewaktu di perantauan. Dia bahagia walaupun di sebalik itu, kesabarannya seringkali teruji dengan sikap majikannya, Ezany yang tidak pernah senang dengan kehadirannya. Perlian dan bicara sinis lelaki itu menjadi halwa telinganya setiap kali mereka bertemu. Hinggakan dia adakalanya lelah dengan situasi sebegitu!
Pertemuan dengan Tengku Hadif Zafran begitu unik. Terjadi di saat tidak terduga dan tidak mampu dibayangkan. Aneh! Tapi, mungkin itulah dikatakan takdir. Pertemuan demi pertemuan akhirnya membibitkan rasa. Bayu-bayu rindu mula menggamit sekeping hatinya buat lelaki itu. Cintakah itu yang datang mengetuk pintu hatinya?
Seperti menyedari sikap keterlaluannya selama ini, Ezany berubah sikap. Tanpa angin, tanpa ribut yang membawa sebarang petanda. Tutur kata dan bicaranya sudah tidak se'panas' dahulu. Lebih lembut dan gemar bergurau. Dalam diam, dia menyenangi perubahan lelaki itu. Walau di hati dia bimbang seandainya perubahan itu cuma sementara. Mungkinkah?
Belum sempat dia berpeluan melayan perasaan yang hadir, Ummi tiba-tiba sahaja ingin menjodohkan dia dengan Hadif. Dia terima biarpun pada mulanya dia gusar dan keliru. Mampukah dia menjalin bahagia hanya dengan rasa cinta tanpa mengenal lelaki itu terlebih dahulu?
Impian dan angan-angannya untuk hidup bersama Hadif berkecai apabila dia mendapat tahu Nurul Adlynn turut menaruh perasaan pada lelaki itu. Warna-warna kelukaan dan penderitaan mula mewarnai perjalanan hidupnya. Dia sendiri buntu. Dia tersepit antara kasih seorang sahabat setia, keinginan dan harapan seorang ibu yang melahirkannya dan antara cintanya sendiri yang mula berputik.
Dalam setiap keputusan, ada akibat yang perlu dihadapi. Lantaran kerana keputusan itu, dia hilang kasih sayang daripada seorang yang amat dekat di hatinya. Dia reda walaupun kecewa. Namun dia tetap berharap, suatu hari nanti kasih sayang itu akan hadir lagi dalam hidupnya.
Dan setelah hujan berlalu pergi, ternyata ada cahaya mentari yang menanti. Sayangnya, cahaya yang diharap berpanjangan itu, hadirnya sekejap cuma. Kehilangan insan yang paling bererti buat dirinya melontarkan dia ke pelusuk duka. Sekali lagi. Benarkah sekeping hati yang perlu dicari itu bukan Hadif pemiliknya? Mampukah kasih seharum lavender itu terus dia kecapi?
Ulasan:
Novel Kasih Seharum Lavender ini adalah di antara novel terawal yang saya beli sewaktu memulakan blog ini. Tetapi ianya adalah di antara yang akhir saya baca. Saya cuba beberapa kali untuk memulakan bacaan, namun bab-bab awal tidak begitu menggamit minat saya untuk terus membaca. Kisah berjumpa sahabat baik di luar negara yang disajikan dirasakan agak klise. Walau bagaimanapun, hanya apabila memasuki Bab 14, barulah minat untuk membaca sedikit memuncak apabila pembaca diperkenalkan dengan watak Ezany. Dan selepas itu, saya dapat meneruskan pembacaan novel ini dengan lebih konsisten kerana konflik yang diutarakan mula menampakkan rupanya.
Tidak perlu saya ulas panjang mengenai jalan cerita kerana sinopsis yang diberikan cukup menyeluruh untuk mendapat gambaran tentang kisah Kasih Seharum Lavender ini. Bagi saya, ini adalah satu lagi kisah cinta kompleks yang diadun dengan soal kasih keluarga, kesetiaan sahabat dan hubungan sesama insan. Tidak ada yang baru yang diketengahkan di dalam novel ini tetapi tidaklah bermakna kisah ini membosankan. Entah mengapa, bila saya baca kisah ini mengingatkan saya tentang nostalgia kisah drama keluarga yang pernah disiarkan di kaca televisyen seperti "Opah" dan "Anjang Aki."
Saya tertarik untuk membeli novel Kasih Seharum Lavender kerana kulit depannya yang memaparkan bunga lavender yang sinonim dengan Eropah. Ia mengingatkan saya kepada zaman saya menjadi anak dagang di Eropah lebih satu dekad yang lalu. Apapun, seperti yang saya pernah nyatakan sewaktu mengulas Ku Seru Kasihmu, Kaki Novel Enterprise mempunyai identiti tersendiri di dalam mempersembahkan novel-novel terbitannya. Kulit depan yang unik adalah satu daripadanya.
Cuma seperti juga yang saya nyatakan di dalam ulasan Ku Seru Kasihmu, satu masalah yang saya hadapi dengan novel terbitan Kaki Novel Enterprise adalah saiz aksara dan mata fon yang terlalu kecil untuk orang seperti saya. Wajar kiranya penerbit memberikan perhatian kepada perkara ini kerana tidak semua pembaca mempunyai penglihatan 20/20.
Apapun, saya kira novel Kasih Seharum Lavender secara keseluruhannya tidaklah mengecewakan. Tiada yang baru yang disajikan tetapi kesegaran kisahnya sudah cukup untuk menarik pembaca untuk membelinya.
Penilaian: 3 bintang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan