Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Rabu, 1 Ogos 2007

Infinite Crisis


Penulis: Geoff Johns
Artis (pensil): Phil Jiminez, George Perez, Jerry Ordway dan Ivan Reis
Artis (dakwat): Andy Lanning, Oclair Albert, Marlo Alquiza, Marc Campos, Wayne Faucher, Drew Geraci, Jerry Ordway, Jimmy Palmiotti, Sean Parsons, George Perez, Norm Rapmund, Ivan Reis, Lary Stucker dan Art Thibert
Artis (warna): Jeremy Cox, Guy Major, Rod Reis, Tanya Horie dan Richard Horie
Penerbit: DC Comics
Tahun: 2006
Halaman: Tidak dinyatakan
Harga: RM85.22 (USD24.99)
Genre: Fiksyen sains, fantasi
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

It is the DC Universe's darkest day... OMAC robots are rampaging, magic is dying, villains are uniting, and a war is raging in space. And in the middle of it all, a critical moment has divided Earth's three greatest heroes: Superman, Batman, and Wonder Woman. But long-lost heroes from the past have returned to make things right in the universe... at any cost. Heroes will live, heroes will die, and the DCU will never be the same again!


Ulasan:

Satu lagi ulasan komik daripada saya kali ini terbitan DC Comics. Infinite Crisis mengumpulkan tujuh edisi siri komik dengan tajuk yang sama yang diterbitkan pada tahun 2005 dan 2006. Bagi sesiapa yang mengikuti komik adi wira terbitan DC Comics pasti mengetahui signifikan kisah Infinite Crisis ini.

Infinite Crisis adalah kesinambungan kepada beberapa "kejadian" penting bagi watak-watak di dalam DC Comics. Kejadian-kejadian ini juga telah dikumpulkan menjadi novel grafik seperti The OMAC Project, Day of Vengeance, Rann-Thanagar War, Villains United dan JLA: Crisis of Conscience. Tidak perlu bimbang jika tidak mengikuti kisah-kisah ini kerana ringkasannya ada diberikan di dalam bentuk imbas semula oleh Alexander Luthor di dalam Infinite Crisis ini.

Perkara yang menarik saya untuk membaca kisah ini adalah kerana saya meminati Crisis on Infinite Earths yang telah diterbitkan kira-kira 20 tahun yang lalu. Kisah Infinite Crisis ini sebenarnya adalah kesinambungan kepada kisah Crisis on Infinite Earths. Beberapa watak yang tidak pernah dilihat semenjak Crisis on Infinite Earths telah kembali di dalam Infinite Crisis.

Dari segi cerita, bagi seorang peminat komik seperti saya, Infinite Crisis memang memberikan kepuasan. Saya amat gemar dengan kisah yang memuatkan pelbagai watak di dalam satu buku. Justeru, dari sudut ini Infinite Crisis berjaya menggunakan beratus-ratus watak DC Comics dengan baik dan berkesan.

Cuma yang saya sedikit kecewa dengan kisah ini adalah ianya menjadi titik tolak kepada kembalinya konsep multiverse yang amat mengelirukan pembaca. Pengikut DC Comics pasti maklum bahawa tujuan Crisis on Infinite Earths diketengahkan adalah untuk mewujudkan satu universe yang seragam untuk semua watak DC Comics bagi mengelakkan kecelaruan kepada pembaca. Tetapi nampaknya selepas 20 tahun, DC Comics merasakan ada keperluan untuk kembali kepada konsep multiverse walaupun ianya lebih terkawal. Pun begitu, kisah mengenai kewujudan multiverse ini hanya disentuh dengan lebih terperinci di dalam kisah lain iaitu 52.


Penilaian: 3.5 bintang

Tiada ulasan: