Isnin, 10 September 2007
Impian Palestin
Penulis: Randa Ghazy
Penterjemah: Nor Hasanuddin
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 261
Harga: RM14.90
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Randa, gadis manis warganegara Itali berdarah Mesir yang baru berusia lima belas tahun ketika menyaksikan berita di kaca TV mengenai seorang kanak-kanak Palestin yang bernama Muhammad al-Durrah ditembak mati dengan sebutir peluru tentera Israel yang menembusi tubuh mungilnya. Hatinya betul-betul tersentuh akan apa yang dilihatnya itu. Dan Randa ternyata adalah seorang gadis yang mempunyai bakat sastera yang luar biasa.
Randa tidak dapat mempercayai apa yang disaksikannya itu. Dia betul-betul tidak tahu apa sesungguhnya yang terjadi di bumi Palestin selain melalui berita dan analisis yang diwar-warkan oleh media Barat. Dia tidak percaya bahawa apa yang tengah disaksikannya juga dilihat dan sampai ke telinga seluruh masyarakat dunia.
Dia merasa hairan dan keliru. Maka dia kemudian memutuskan untuk mencari kebenaran. Dia banyak bertanya kepada kedua ibu bapanya, membaca buku dan melayari internet untuk mencari hakikat sebenar yang terjadi di Palestin. Setelah mendapatkan pelbagai jawapan dan maklumat yang memuaskan rasa ingin tahunya, maka dia menulis sebuah cerpen yang kemudiannya memperoleh penghargaan kesusasteraan kanak-kanak di Itali.
Atas permintaan sebuah syarikat penerbitan di Itali, maka cerpen tersebut selanjutnya dijadikan sebuah novel yang sungguh menarik dan menakjubkan.
Ia mendapat sambutan ramai sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali, dan mendapat ratusan komen dari para ahli. Novel ini diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa di banyak negara sehingga menjadi satu novel fenomenal di kalangan masyarakat antarabangsa, meskipun Lobby Yahudi cuba menyekatnya kerana mereka tidak ingin dunia membaca, melihat atau mendengar kisah rakyat Palestin selain menurut perspektif mereka sendiri.
Ulasan:
Ikhlas, saya suka membaca kisah Impian Palestin ini. Kita sebenarnya terlalu jauh daripada hakikat kehidupan masyarakat Islam di Palestin. Mungkin ini menyebabkan kita sering lupa akan penderitaan yang mereka alami. Dan Impian Palestin mampu memberikan kita gambaran serba sedikit mengenai kehidupan di sana.
Bagi kita di Malaysia, kemerdekaan yang kita kecapi selama lima dekad ini sebenarnya sesuatu yang amat didamba oleh mereka di Palestin. Novel ini mampu mengundang rasa insaf bagi kita yang sudah merdeka ini. Betapa harga sebuah kemerdekaan itu tidak ternilai dek wang ringgit. Betapa perjuangan untuk mencapai kemerdekaan itu diwarnai oleh darah, keringat dan air mata. Betapa kita kini kerap alpa akan nikmat dan anugerah kemerdekaan yang sudah kita miliki ini.
Dari segi cerita, sememangnya kisah Impian Palestin ini lain daripada biasa. Ia menyentuh tentang jihad, pengorbanan, persahabatan, kesempitan hidup di dalam peperangan dan sebagainya. Tidak hairanlah novel ini mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Membaca novel ini tidak langsung memberikan gambaran bahawa penulisnya hanyalah seorang gadis belasan tahun. Kisah yang digarapnya sungguh matang dan mampu meruntun jiwa.
Cuma saya sedikit kecewa dengan penterjemahan yang dilakukan. Ada ketikanya saya rasa seperti saya sedang membaca sebuah buku di dalam Bahasa Indonesia, dan ada ketikanya pula bahasa yang digunakan tidak "mengalir" dengan lancar. Banyak kesilapan nahu dan ejaan di sana sini. Bagi saya yang cerewet dengan perkara-perkara remeh seperti ini, kesilapan seperti ini sedikit sebanyak mengganggu proses penghayatan kisah ini. Mungkin penerbit boleh mengambil langkah untuk memperbaiki kelancaran penterjemahan yang dilakukan dengan menggunakan khidmat penterjemah dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) atau Akademi Bahasa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bagaimanapun, ini adalah satu novel yang baik dari segi mesej yang hendak diketengahkan. Membaca novel Impian Palestin pada waktu Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 memberikan satu peringatan kepada saya bahawasanya nilai sebuah kebebasan adalah terlalu tinggi untuk dipersia-siakan begitu sahaja. Saya syorkan novel ini untuk dibaca oleh semua khususnya golongan belia dan remaja.
Penilaian: 3.5 bintang
Kategori
Bahasa Malaysia,
fiksyen,
novel,
remaja,
terjemahan,
ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
impian Palestin~
karya yang menusuk jiwa dan m'bangunkan...!
setuju,
cara penterjemahan karya ini tidak mengalir dengan baik...
Catat Ulasan