Selasa, 21 Ogos 2007
As I Was Passing II
Penulis: Adibah Amin
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2007 (cetakan kedua)
Halaman: 346
Harga: RM32.90
Genre: Bukan fiksyen, humor
Pengantar: Bahasa Inggeris
Sinopsis:
Adibah Amin, the celebrated chronicler of everyday Malaysiana, returns with more anecdotal essays that celebrate the Malaysian way of life. In As I Was Passing II, she is still doing what she does best: observing human nature with an assurance of touch and insight, laced with her signature wry humour and humanity.
Adibah is especially adept at observing and capturing the foibles and excesses of the human condition as well as the mundane stuff of everyday life, yet finding joy and humour in them. Her wit and lightness of touch, coupled with her concise, disciplined style, renders her anecdotes profound, with layers of complex thoughts in a few phrases. The wondrous real-life stories that she spins will engage and grip you with the clarity of her honesty and introspection.
Ulasan:
Seperti As I Was Passing yang telah diulas sebelum ini, As I Was Passing II juga merupakan koleksi esei-esei tulisan Adibah Amin yang pernah disiarkan di dalam akhbar-akhbar pada tahun 1970-an dan 1980-an. Sememangnya membaca buku ini akan mengembalikan nostalgia ke zaman tersebut. Betapa mudahnya kehidupan ketika itu apabila difikirkan kembali. Tetapi itulah sebenarnya zaman peralihan daripada era pertanian ke era perindustrian. Perubahan dan peralihan ini dapat dilihat menerusi esei-esei yang dikumpulkan di dalam buku ini.
Terdapat 105 artikel yang dihimpunkan di dalam jilid kali ini, dan setiap satu mampu mengundang senyum yang tidak dipaksa. Bagi sesiapa yang ingin memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris, saya syorkan buku tulisan Adibah Amin ini. Banyak yang boleh dipelajari daripada gaya penulisan beliau. Ada kalanya terbayang imej Cikgu Bedah daripada kisah "Adik Manja" (1980) ini.
Seperti As I Was Passing, saya ingin syorkan As I Was Passing II sebagai bacaan untuk semua orang.
Penilaian: 5 bintang
Kategori
anekdot,
antologi,
Bahasa Inggeris,
bukan fiksyen,
esei,
humor,
ulasan
Sabtu, 11 Ogos 2007
Kasih Seharum Lavender
Penulis: Eita Ashyta
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Tahun: 2007 (cetakan keempat)
Halaman: 621
Harga: RM19.00
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Pada suatu detik itu, dirinya mewah dengan kasih sayang. Dia punya Ummi yang penyayang, seorang abang yang prihatin dan Nurul Adlynn, teman akrab yang dikenalinya sewaktu di perantauan. Dia bahagia walaupun di sebalik itu, kesabarannya seringkali teruji dengan sikap majikannya, Ezany yang tidak pernah senang dengan kehadirannya. Perlian dan bicara sinis lelaki itu menjadi halwa telinganya setiap kali mereka bertemu. Hinggakan dia adakalanya lelah dengan situasi sebegitu!
Pertemuan dengan Tengku Hadif Zafran begitu unik. Terjadi di saat tidak terduga dan tidak mampu dibayangkan. Aneh! Tapi, mungkin itulah dikatakan takdir. Pertemuan demi pertemuan akhirnya membibitkan rasa. Bayu-bayu rindu mula menggamit sekeping hatinya buat lelaki itu. Cintakah itu yang datang mengetuk pintu hatinya?
Seperti menyedari sikap keterlaluannya selama ini, Ezany berubah sikap. Tanpa angin, tanpa ribut yang membawa sebarang petanda. Tutur kata dan bicaranya sudah tidak se'panas' dahulu. Lebih lembut dan gemar bergurau. Dalam diam, dia menyenangi perubahan lelaki itu. Walau di hati dia bimbang seandainya perubahan itu cuma sementara. Mungkinkah?
Belum sempat dia berpeluan melayan perasaan yang hadir, Ummi tiba-tiba sahaja ingin menjodohkan dia dengan Hadif. Dia terima biarpun pada mulanya dia gusar dan keliru. Mampukah dia menjalin bahagia hanya dengan rasa cinta tanpa mengenal lelaki itu terlebih dahulu?
Impian dan angan-angannya untuk hidup bersama Hadif berkecai apabila dia mendapat tahu Nurul Adlynn turut menaruh perasaan pada lelaki itu. Warna-warna kelukaan dan penderitaan mula mewarnai perjalanan hidupnya. Dia sendiri buntu. Dia tersepit antara kasih seorang sahabat setia, keinginan dan harapan seorang ibu yang melahirkannya dan antara cintanya sendiri yang mula berputik.
Dalam setiap keputusan, ada akibat yang perlu dihadapi. Lantaran kerana keputusan itu, dia hilang kasih sayang daripada seorang yang amat dekat di hatinya. Dia reda walaupun kecewa. Namun dia tetap berharap, suatu hari nanti kasih sayang itu akan hadir lagi dalam hidupnya.
Dan setelah hujan berlalu pergi, ternyata ada cahaya mentari yang menanti. Sayangnya, cahaya yang diharap berpanjangan itu, hadirnya sekejap cuma. Kehilangan insan yang paling bererti buat dirinya melontarkan dia ke pelusuk duka. Sekali lagi. Benarkah sekeping hati yang perlu dicari itu bukan Hadif pemiliknya? Mampukah kasih seharum lavender itu terus dia kecapi?
Ulasan:
Novel Kasih Seharum Lavender ini adalah di antara novel terawal yang saya beli sewaktu memulakan blog ini. Tetapi ianya adalah di antara yang akhir saya baca. Saya cuba beberapa kali untuk memulakan bacaan, namun bab-bab awal tidak begitu menggamit minat saya untuk terus membaca. Kisah berjumpa sahabat baik di luar negara yang disajikan dirasakan agak klise. Walau bagaimanapun, hanya apabila memasuki Bab 14, barulah minat untuk membaca sedikit memuncak apabila pembaca diperkenalkan dengan watak Ezany. Dan selepas itu, saya dapat meneruskan pembacaan novel ini dengan lebih konsisten kerana konflik yang diutarakan mula menampakkan rupanya.
Tidak perlu saya ulas panjang mengenai jalan cerita kerana sinopsis yang diberikan cukup menyeluruh untuk mendapat gambaran tentang kisah Kasih Seharum Lavender ini. Bagi saya, ini adalah satu lagi kisah cinta kompleks yang diadun dengan soal kasih keluarga, kesetiaan sahabat dan hubungan sesama insan. Tidak ada yang baru yang diketengahkan di dalam novel ini tetapi tidaklah bermakna kisah ini membosankan. Entah mengapa, bila saya baca kisah ini mengingatkan saya tentang nostalgia kisah drama keluarga yang pernah disiarkan di kaca televisyen seperti "Opah" dan "Anjang Aki."
Saya tertarik untuk membeli novel Kasih Seharum Lavender kerana kulit depannya yang memaparkan bunga lavender yang sinonim dengan Eropah. Ia mengingatkan saya kepada zaman saya menjadi anak dagang di Eropah lebih satu dekad yang lalu. Apapun, seperti yang saya pernah nyatakan sewaktu mengulas Ku Seru Kasihmu, Kaki Novel Enterprise mempunyai identiti tersendiri di dalam mempersembahkan novel-novel terbitannya. Kulit depan yang unik adalah satu daripadanya.
Cuma seperti juga yang saya nyatakan di dalam ulasan Ku Seru Kasihmu, satu masalah yang saya hadapi dengan novel terbitan Kaki Novel Enterprise adalah saiz aksara dan mata fon yang terlalu kecil untuk orang seperti saya. Wajar kiranya penerbit memberikan perhatian kepada perkara ini kerana tidak semua pembaca mempunyai penglihatan 20/20.
Apapun, saya kira novel Kasih Seharum Lavender secara keseluruhannya tidaklah mengecewakan. Tiada yang baru yang disajikan tetapi kesegaran kisahnya sudah cukup untuk menarik pembaca untuk membelinya.
Penilaian: 3 bintang
Kategori
Bahasa Malaysia,
fiksyen,
novel,
remaja,
ulasan
Rabu, 8 Ogos 2007
Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia
Penulis: Muhammad ibn Muhammad ibn Juzayy al-Kalbi (tidak dikreditkan di kulit hadapan)
Penterjemah: Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan Adi Setia Mohd. Dom
Penyunting: Ismail Haji Ibrahim dan Wan Roslili Ab. Majid
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tahun: 2003
Halaman: 967
Harga: RM250
Genre: Bukan fiksyen, sejarah, pengembaraan
Pengantar: Bahasa Malaysia
Sinopsis:
Pada Jun 1325M., Ibn Battutah atau nama penuhnya Abu 'Abdillah Muhammad ibn 'Abdillah ibn Muhammad ibn Ibrahim al-Lawati, meninggalkan Tangier untuk menunaikan haji di Makkah. Di kota suci inilah, keinginan untuk mengembara tercetus dalam dirinya dan Ibn Battutah benar-benar menjadikannya suatu kenyataan. Beliau mengembara ke segenap pelosok dunia Islam yang luas bermula dari Afrika Utara hinggalah negeri China dan kemudian pulang ke negeri asalnya. Pengembaraan sejauh 120,000 kilometer merentas benua Afrika, Eropah dan Asia merupakan satu penjelajahan dunia terhebat yang memartabatkan Ibn Battutah sebagai tokoh pengembara paling terkemuka dalam sejarah. Setelah puas mengembara selama tiga dekad, Ibn Battutah akhirnya pulang ke Fez, Maghribi pada 1354M. dan di kota Fez inilah kisah beliau mula diabadikan.
Kisah panjang yang penuh dramatik ini akhirnya dirakam indah dalam sebuah karya Arab klasik berjudul Rihlah Ibn Battutah al-Musammah Tuhfah al-Nuzzar fi Ghara'ib al-Amsar wa 'Aja'ib al-Asfar. Penulisan karya ini dititahkan oleh Maulana Abu 'Inan, Sultan Maghribi daripada Bani Marin yang memerintah ketika itu berjaya disempurnakan oleh jurutulis baginda, Ibn Juzayy, sasterawan Andalus yang berasal dari Granada. Ibn Juzayy berusaha sepenuh daya, mengumpulkan catatan dan menulis kisah suka dan duka yang disampaikan oleh Ibn Battutah. Dalam penyampaiannya, Ibn Battutah jelas memperlihatkan kehebatan dalam teknik penceritaan yang menghiburkan. Sebagai hasilnya, lahirlah karya ini yang diperindah bahasa dan dimudahkan pendekatannya oleh Ibn Juzayy sehingga membolehkan pembaca memahami serta menghayati setiap kisah yang dipaparkan. Lebih penting lagi, wacananya tidak terpisah daripada tradisi kesejagatan sifat semula jadi manusia.
Karya ini disifatkan oleh sarjana sebagai kemuncak kecemerlangan penulisan genre sastera pengembaraan. Sesungguhnya, karya terjemahan Pengembaraan Ibn Battutah ini umpama jendela yang membolehkan khalayak pembaca melihat visual tamadun Islam yang dirakamkan dengan sedemikian hidup oleh Ibn Battutah. Ia amat kaya dengan maklumat tentang dunia wacana Islam, geografi, sejarah, antropologi dan juga budaya. Penterjemahan karya ini ke bahasa Melayu diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna dalam pemasyhuran serta penyebarluasan karya-karya klasik Islam dan pengayaan khazanah ilmu negara oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), khusus untuk tatapan masyarakat.
Ulasan:
Saya beruntung kerana memiliki cetakan pertama karya penterjemahan ini. Saya difahamkan bahawa karya ini sudah diulang cetak beberapa kali dan menjadi bestseller di kedai-kedai buku. Walaupun sudah memasuki tahun keempat karya ini berada di tangan saya, ini adalah satu karya yang saya tidak jemu-jemu mengulang baca. Kisah yang dipaparkan menerusi Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia sememangnya suatu yang amat unik untuk dibaca. Lupakan saja Marco Polo, Amerigo Vespucci, Christopher Columbus dan Vasco da Gama. Sesungguhnya umat Islam beruntung kerana dianugerahkan Allah SWT dengan seorang insan yang bernama Ibn Battutah.
Ibn Battutah tidak menulis sendiri karya ini, sebaliknya tugas penulisan dilakukan oleh Ibn Juzayy. Namun, membaca kisah-kisah yang tercatat di dalam karya ini memberikan peluang kepada kita yang hidup hampir 700 tahun selepas Ibn Battutah untuk "mengikuti" pengembaraannya yang menakjubkan. Bukan mudah menterjemahkan karya bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu tetapi nampaknya penterjemah-penterjemah dari Institut Kefahaman Islam Malaysia telah melakukan tugas yang baik. Bahasa yang digunakan begitu lancar dan mudah difahami tanpa menghilangkan aura dan persekitaran yang dicetuskan oleh Ibn Battutah di dalam pengkisahannya.
Saya berpandangan karya penterjemahan Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia ini perlu dibaca oleh generasi Muslim hari ini. Harganya mungkin mahal tetapi pengalaman membacanya amat berbaloi dan memuaskan.
Penilaian: 5 bintang
Kategori
Bahasa Malaysia,
bukan fiksyen,
pengembaraan,
sejarah,
terjemahan,
ulasan
Rabu, 1 Ogos 2007
Infinite Crisis
Penulis: Geoff Johns
Artis (pensil): Phil Jiminez, George Perez, Jerry Ordway dan Ivan Reis
Artis (dakwat): Andy Lanning, Oclair Albert, Marlo Alquiza, Marc Campos, Wayne Faucher, Drew Geraci, Jerry Ordway, Jimmy Palmiotti, Sean Parsons, George Perez, Norm Rapmund, Ivan Reis, Lary Stucker dan Art Thibert
Artis (warna): Jeremy Cox, Guy Major, Rod Reis, Tanya Horie dan Richard Horie
Penerbit: DC Comics
Tahun: 2006
Halaman: Tidak dinyatakan
Harga: RM85.22 (USD24.99)
Genre: Fiksyen sains, fantasi
Pengantar: Bahasa Inggeris
Sinopsis:
It is the DC Universe's darkest day... OMAC robots are rampaging, magic is dying, villains are uniting, and a war is raging in space. And in the middle of it all, a critical moment has divided Earth's three greatest heroes: Superman, Batman, and Wonder Woman. But long-lost heroes from the past have returned to make things right in the universe... at any cost. Heroes will live, heroes will die, and the DCU will never be the same again!
Ulasan:
Satu lagi ulasan komik daripada saya kali ini terbitan DC Comics. Infinite Crisis mengumpulkan tujuh edisi siri komik dengan tajuk yang sama yang diterbitkan pada tahun 2005 dan 2006. Bagi sesiapa yang mengikuti komik adi wira terbitan DC Comics pasti mengetahui signifikan kisah Infinite Crisis ini.
Infinite Crisis adalah kesinambungan kepada beberapa "kejadian" penting bagi watak-watak di dalam DC Comics. Kejadian-kejadian ini juga telah dikumpulkan menjadi novel grafik seperti The OMAC Project, Day of Vengeance, Rann-Thanagar War, Villains United dan JLA: Crisis of Conscience. Tidak perlu bimbang jika tidak mengikuti kisah-kisah ini kerana ringkasannya ada diberikan di dalam bentuk imbas semula oleh Alexander Luthor di dalam Infinite Crisis ini.
Perkara yang menarik saya untuk membaca kisah ini adalah kerana saya meminati Crisis on Infinite Earths yang telah diterbitkan kira-kira 20 tahun yang lalu. Kisah Infinite Crisis ini sebenarnya adalah kesinambungan kepada kisah Crisis on Infinite Earths. Beberapa watak yang tidak pernah dilihat semenjak Crisis on Infinite Earths telah kembali di dalam Infinite Crisis.
Dari segi cerita, bagi seorang peminat komik seperti saya, Infinite Crisis memang memberikan kepuasan. Saya amat gemar dengan kisah yang memuatkan pelbagai watak di dalam satu buku. Justeru, dari sudut ini Infinite Crisis berjaya menggunakan beratus-ratus watak DC Comics dengan baik dan berkesan.
Cuma yang saya sedikit kecewa dengan kisah ini adalah ianya menjadi titik tolak kepada kembalinya konsep multiverse yang amat mengelirukan pembaca. Pengikut DC Comics pasti maklum bahawa tujuan Crisis on Infinite Earths diketengahkan adalah untuk mewujudkan satu universe yang seragam untuk semua watak DC Comics bagi mengelakkan kecelaruan kepada pembaca. Tetapi nampaknya selepas 20 tahun, DC Comics merasakan ada keperluan untuk kembali kepada konsep multiverse walaupun ianya lebih terkawal. Pun begitu, kisah mengenai kewujudan multiverse ini hanya disentuh dengan lebih terperinci di dalam kisah lain iaitu 52.
Penilaian: 3.5 bintang
Kategori
Bahasa Inggeris,
fantasi,
fiksyen sains,
novel grafik,
ulasan
Langgan:
Catatan (Atom)