Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Selasa, 2 Oktober 2007

Tariq: Menang ataupun Syahid


Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Fortuna
Tahun: 2007
Halaman: 244
Harga: RM23.90 (Semenanjung Malaysia) / RM26.90 (Sabah dan Sarawak)
Genre: Sejarah, bukan fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

"...Seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian."
Tariq bin Ziyad

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lidah (berdakwah)."
Sayyid Abul 'Ala al-Maududi

"Penaklukan Sepanyol adalah perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luar kepada kekuasaan Islam."
Phillip K. Hitti, seorang ahli Sejarah


Ulasan:

Telah lama saya dambakan buku seperti ini. Kisah sejarah Islam yang ditulis di dalam bentuk penceritaan novel. Saya kira ini adalah satu pendekatan yang sepatutnya telah lama dilakukan seperti penceritaan sirah Nabi di dalam Sirah Ibn Hisyam.

Membaca novel mengenai kepahlawanan Tariq bin Ziyad ini menyebabkan saya terasa seperti berada di ambang kejayaan Empayar Islam sampai ke benua Eropah menerusi Andalusia. Sememangnya kita banyak mengetahui tentang kemajuan yang dicapai oleh Tamadun Islam di Andalusia menerusi perkembangan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang, kemajuan sistem kesihatan, kehebatan sistem pentadbiran dan juga kepentingan institusi wakaf. Namun, mungkin ramai di antara kita yang terlupa tentang bagaimana semua ini telah bermula. Dan kisah yang dipaparkan di dalam Tariq: Menang ataupun Syahid menceritakan segala-galanya.

Saya dapat merasakan semangat jihad dan kekentalan iman di sanubari pejuang-pejuang Islam sewaktu membaca novel ini. Terfikir juga di dalam hati saya, andai kata Allah SWT takdirkan Tariq bin Ziyad tidak dipanggil kembali ke Damsyik oleh khalifah, adakah mungkin seluruh Eropah akan berada di bawah Islam? Dan jika ini berlaku, tidakkah ini bermakna sejarah Eropah dan dunia akan berubah, tidak seperti hari ini?

Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Walau bagaimanapun, saya anjurkan agar novel Tariq: Menang ataupun Syahid ini dibaca oleh semua golongan masyarakat.


Penilaian: 4.5 bintang

Tiada ulasan: