Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Selasa, 19 Jun 2007

1515


Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2006 (Cetakan ketiga)
Halaman: 312
Harga: RM22.00
Genre: Fantasi, pengembaraan
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

1515 - Melanggar Melaka? Portugis menempah maut!

1515 tarikh keramat bagi bangsa Melayu, bukannya untuk benggali putih. Alfonso de Albuquerque, wizurai perkasa yang telah menumpahkan darah puluhan ribu manusia di Ormuz dan Goa, akhirnya bertemu ajal di hujung pedang srikandi Melaka.

Nyemah, Tun Nyemah Mulya, perawan usia 15 panglima laksamana Melaka - luar biasa handal, licik, penuh makar, berbudi, tegar - memimpin armada Nusantara dengan kekuatan 100 bahtera perang berisi lebih 60,000 tentera, membelah laut segera dengan 2 misi: Pertama, mengotakan janji kepada Albuquerque mengebumikan jasadnya di Lisbon; dan kedua, menakluk Portugal. 1515 tarikh yang digelapkan oleh sejarawan Barat - tumbangnya kerajaan Portugal dan tegaklah kesultanan Melayu di Eropah, dekad demi dekad

1515 - kisah sejarawan mencari hakikat sejarah, menjejak keagungan bangsa yang dipadam secara terancang; mengungkap getir gemuruhnya medan tempur; melukis filsafat cinta aneh, bahagia cinta sehala; menjulang luhur pengorbanan perempuan srikandi, perempuan isteri.


Ulasan:

1515 adalah pemenang kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. Mungkin satu kesukaran mengulas novel yang telah dinilai oleh sekumpulan pakar dalam bidang sastera. Jadi anggaplah ulasan ini sebagai pandangan peribadi mengenai 1515.

Bagi kebanyakan orang, membaca naskhah 1515 adalah satu perkara yang agak sukar, mungkin kerana perlu diulang baca beberapa kali. Naskhah ini, pada pandangan saya, adalah cerita di dalam cerita di dalam cerita. Terdapat banyak lapisan di dalam kisah Adi Fimiyun yang cuba merungkai rahsia Nyemah Mulya. Persoalan tentang siapa Nyemah Mulya sebenarnya dilontarkan sedari awal novel ini bermula. Malah persoalan inilah yang mencengkam pembaca untuk terus membaca bagi mendapatkan jawapan. Tapi Faisal Tehrani bijak. Dia mengumpan pembaca dengan satu kisah seolah-olah mahu memberikan jawapan, namun tiba-tiba di bab berikutnya pembaca seperti berada di dalam realiti yang berbeza. Adakah kisah ini mimpi? Atau igauan seorang yang hilang ingatan? Atau realiti yang benar-benar berlaku? Malah, pembaca sendiri dipaksa berfikir supaya membezakan antara realiti dengan fantasi; antara apa yang telah terpahat sebagai sejarah dengan apa yang sepatutnya berlaku.

Di samping misteri Nyemah Mulya yang menjadi plot utama 1515, pembaca juga diselitkan kisah cinta tiga segi antara Adi Fimiyun, Maude dan Frida. Tema cinta tidak berbalas, cinta terpendam dan cinta paksa menjadi subplot kisah 1515 yang turut mengajak pembaca berfikir.

Saya yakin setiap yang membaca 1515 akan membuat kesimpulannya yang tersendiri, yang pastinya berbeza daripada seorang dengan yang lain. Novel ini mungkin tidak untuk semua orang kerana ia mengajak kita berfikir sambil membaca. Jika ada yang mencari novel santai dan ringan, 1515 bukanlah yang dicari.

Saya tertarik dengan mesej yang tersirat di dalam naskhah ini. Ianya satu komentar ikhlas mengenai peristiwa-peristiwa semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat tetapi disampaikan dalam bentuk cerita yang diletakkan dalam konteks sejarah. Malah penekanan tentang peripentingnya sejarah juga mampu membawa kesedaran kepada pembaca. Bagi saya, tiga ayat terakhir novel ini (halaman 312) menjadi mesej paling kuat yang disampaikan oleh Faisal Tehrani:
"Harapan hamba sejarah akan dibaca. Sejarah akan mengajar. Dan anak muda akan belajar."
Mungkin saya sedikit lewat membaca novel yang pertama kali terbit pada tahun 2003 yang lalu. Walaupun demikian, 1515 harus dibaca oleh kita sebagai pengajaran apa lagi di ambang negara menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50. Pasti kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Melaka 496 tahun yang lalu.


Penilaian: 4.5 bintang

Tiada ulasan: