Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Selasa, 26 Jun 2007

5 Tahun 5 Bulan

Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Tahun: 2007 (Cetakan kedua)
Halaman: 510
Harga: RM20.00
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Menjadi orang gaji di rumah Encik Latfy sebenarnya tidak sesusah mana kalau tidak kerana Along Serbia yang sarkastik tu...

Ini bukan asam pedas ni. Dah macam masam-kelat-pedas aje.
Masin sangat la ni... lain kali nak letak garam banyak mana timbanglah dulu.
Nak bagi kita orang kena diabetes ke Cik Ana oi...?
Bancuh Along kopi O. Kurang gula. Tapi campurkan sedikit honey.

Namun inilah permulaannya dia belajar menjadi seorang Ana... dan dari sini jugalah Ana semakin dewasa dalam setiap episod kehidupannya...

Kata Ana:
Saya bukan orang yang dicari, Along. Ana yang Along kenal bukan Jo yang sepatutnya Along kenal.

Kata hati Along:
Tanpa diduga dia mengenali seorang Jo di dalam Ana.

Siapa Ana? Dan siapa pula Jo dalam hidup Along?

Seperti mana dia cekap sebagai orang gaji begitulah dia 'cekap' mengendalikan dirinya sebagai pelajar di Universiti of Aberdeen. NAmun apabila datang bab 'hati' ada yang tidak kena dengannya sejak dulu. Hatinya pernah berperi: boys're stupid, some men too.

Hlovate mengungkap roman-komedi ini dalam bahasa basah serta jenaka yang selamba. Pelajar luar negara ini mengadun 5 Tahun 5 Bulan secukup rasa; enak di mulut; berkhasiat di minda; penawar di hati... mengisi nurani.


Ulasan:

Novel picisan. Plot yang predictable. Kisah cinta tipikal.

Tiga frasa di atas kiranya amat tepat digunakan untuk menggambarkan novel 5 Tahun 5 Bulan. Tapi adakah frasa-frasa ini negatif kesannya? Bagi saya, tidak sama sekali. Penulisnya yang menggunakan nama pena yang unik dan susah untuk disebut hingga tergeliat lidah, Hlovate, tidak berselindung di sebalik kepurapuraan untuk bersastera tinggi dengan karya sulungnya ini. Membaca 5 Tahun 5 Bulan mengundang senyum kepada pembacanya, dan bagi orang yang pernah menjadi anak dagang di bumi Scotland, pastinya banyak perkara di dalam karya ini yang boleh mencetuskan kenangan lama.

Hlovate menggunakan - meminjam deskripsi di kulit belakang novel ini - "bahasa basah" yang mengadunkan bahasa percakapan anak muda dengan bahasa Inggeris. Walaupun saya dapat mengesan kesalahan penggunaan bahasa Inggeris di sana sini, ianya tidak mencacatkan karya ini kerana berkemungkinan besar itulah kesalahan lazim yang dituturkan oleh orang Melayu ketika berbahasa Inggeris. Sama ada Hlovate sedar atau tidak kesalahan nahu ini, saya tidak pasti. Namun, seperti yang saya katakan di awal tadi, membaca 5 Tahun 5 Bulan memberikan gambaran kepada kita bahawa apa yang ditulis datangnya daripada isi hati penulisnya - ikhlas, tidak hipokrit dan tanpa prejudis.

Novel tentang kisah Johanna - "Jo" kepada kawan-kawannya, "Ana" kepada keluarga Encik Latfy dan "Juan" kepada keluarganya - tidak menawarkan sesuatu yang baru dalam dunia penulisan. Namun, pembaca akan dapat menghayati kisah ini yang diwarnai dengan pelbagai watak menarik - Johanna, Along, Angah, Nana, Nina, Bat, Aie dan Yaya - yang berjaya digarap oleh Hlovate sebagai watak-watak hidup, seolah-olah pembaca dapat menyentuh, melihat dan berkomunikasi dengan mereka. Pembaca dapat menyelami emosi watak-watak ini di kala gembira, marah, sedih, sakit atau sunyi. Itulah kekuatan kisah 5 Tahun 5 Bulan ini sebenarnya - kekuatan dalam aspek perwatakan.

Bagi yang mencari karya sastera bernilai tinggi, 5 Tahun 5 Bulan bukan jawabnya. Sebaliknya, jika anda ingin senyum sendirian, senyum mengimbau nostalgia silam, senyum santai atau senyum nipis segaris (seperti yang Johanna sering lakukan di dalam kisah ini), maka karya 5 Tahun 5 Bulan menjadi penawar yang dicari.

Oh, ya. Ada resepi untuk peach cobbler di akhir novel ini. Boleh dicuba untuk dijamah sambil membaca novel ini. Apa kaitannya peach cobbler dengan kisah ini? Hanya yang membaca 5 Tahun 5 Bulan akan faham...


Penilaian: 3.5 bintang

Selasa, 19 Jun 2007

1515


Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun: 2006 (Cetakan ketiga)
Halaman: 312
Harga: RM22.00
Genre: Fantasi, pengembaraan
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

1515 - Melanggar Melaka? Portugis menempah maut!

1515 tarikh keramat bagi bangsa Melayu, bukannya untuk benggali putih. Alfonso de Albuquerque, wizurai perkasa yang telah menumpahkan darah puluhan ribu manusia di Ormuz dan Goa, akhirnya bertemu ajal di hujung pedang srikandi Melaka.

Nyemah, Tun Nyemah Mulya, perawan usia 15 panglima laksamana Melaka - luar biasa handal, licik, penuh makar, berbudi, tegar - memimpin armada Nusantara dengan kekuatan 100 bahtera perang berisi lebih 60,000 tentera, membelah laut segera dengan 2 misi: Pertama, mengotakan janji kepada Albuquerque mengebumikan jasadnya di Lisbon; dan kedua, menakluk Portugal. 1515 tarikh yang digelapkan oleh sejarawan Barat - tumbangnya kerajaan Portugal dan tegaklah kesultanan Melayu di Eropah, dekad demi dekad

1515 - kisah sejarawan mencari hakikat sejarah, menjejak keagungan bangsa yang dipadam secara terancang; mengungkap getir gemuruhnya medan tempur; melukis filsafat cinta aneh, bahagia cinta sehala; menjulang luhur pengorbanan perempuan srikandi, perempuan isteri.


Ulasan:

1515 adalah pemenang kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. Mungkin satu kesukaran mengulas novel yang telah dinilai oleh sekumpulan pakar dalam bidang sastera. Jadi anggaplah ulasan ini sebagai pandangan peribadi mengenai 1515.

Bagi kebanyakan orang, membaca naskhah 1515 adalah satu perkara yang agak sukar, mungkin kerana perlu diulang baca beberapa kali. Naskhah ini, pada pandangan saya, adalah cerita di dalam cerita di dalam cerita. Terdapat banyak lapisan di dalam kisah Adi Fimiyun yang cuba merungkai rahsia Nyemah Mulya. Persoalan tentang siapa Nyemah Mulya sebenarnya dilontarkan sedari awal novel ini bermula. Malah persoalan inilah yang mencengkam pembaca untuk terus membaca bagi mendapatkan jawapan. Tapi Faisal Tehrani bijak. Dia mengumpan pembaca dengan satu kisah seolah-olah mahu memberikan jawapan, namun tiba-tiba di bab berikutnya pembaca seperti berada di dalam realiti yang berbeza. Adakah kisah ini mimpi? Atau igauan seorang yang hilang ingatan? Atau realiti yang benar-benar berlaku? Malah, pembaca sendiri dipaksa berfikir supaya membezakan antara realiti dengan fantasi; antara apa yang telah terpahat sebagai sejarah dengan apa yang sepatutnya berlaku.

Di samping misteri Nyemah Mulya yang menjadi plot utama 1515, pembaca juga diselitkan kisah cinta tiga segi antara Adi Fimiyun, Maude dan Frida. Tema cinta tidak berbalas, cinta terpendam dan cinta paksa menjadi subplot kisah 1515 yang turut mengajak pembaca berfikir.

Saya yakin setiap yang membaca 1515 akan membuat kesimpulannya yang tersendiri, yang pastinya berbeza daripada seorang dengan yang lain. Novel ini mungkin tidak untuk semua orang kerana ia mengajak kita berfikir sambil membaca. Jika ada yang mencari novel santai dan ringan, 1515 bukanlah yang dicari.

Saya tertarik dengan mesej yang tersirat di dalam naskhah ini. Ianya satu komentar ikhlas mengenai peristiwa-peristiwa semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat tetapi disampaikan dalam bentuk cerita yang diletakkan dalam konteks sejarah. Malah penekanan tentang peripentingnya sejarah juga mampu membawa kesedaran kepada pembaca. Bagi saya, tiga ayat terakhir novel ini (halaman 312) menjadi mesej paling kuat yang disampaikan oleh Faisal Tehrani:
"Harapan hamba sejarah akan dibaca. Sejarah akan mengajar. Dan anak muda akan belajar."
Mungkin saya sedikit lewat membaca novel yang pertama kali terbit pada tahun 2003 yang lalu. Walaupun demikian, 1515 harus dibaca oleh kita sebagai pengajaran apa lagi di ambang negara menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50. Pasti kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Melaka 496 tahun yang lalu.


Penilaian: 4.5 bintang

Selasa, 12 Jun 2007

Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi

Penulis: Hani Ismail
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 227
Harga: RM16.oo (Semenanjung Malaysia) / RM19.00 (Sabah dan Sarawak)
Genre: Fiksyen sains
Pengantar: Bahasa Malaysia



Sinopsis:

SUZAIMI - Meramal masa depan melalui mimpi dan memulihkan kecederaannya sendiri.

AZURIN - Mengapung diri dan menghasilkan puting beliung.

IZKANDAR - Mengapung diri dan membaca minda seseorang dengan hanya menyentuh barang-barang kepunyaan mereka.

MAWAR - Menghasilkan busur berapi.

ASYRAN - Mengapung diri, menghilangkan diri dan membaca gelombang minda.

Mereka tersisih daripada masyarakat dan diburu Agen Hades yang mahu menguasai bumi ini. Di Akademi Gemilang mereka bertemu. Keanehan menjadi satu kebolehan. Bagaimana dengan masa depan mereka? Mampukah mereka melindungi bumi?



Ulasan:

Saya sudah lama tidak membaca novel untuk remaja. Kebetulan semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, ternampak novel Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi ini, lantas terpanggil untuk mendapatkan satu naskhah untuk anak saudara. Apabila anak saudara membaca novel ini dan bertanyakan tentang sambungannya, saya kira pasti ceritanya menarik, apa lagi anak saudara saya ini lebih gemar menonton anime daripada membaca. Lantaran itu, saya tergerak untuk membuat ulasan tentang novel karya Hani Ismail ini yang saya kira karya sulungnya.

Apapun, pertama kali membaca novel remaja ini, saya tidak dapat mengikiskan imej-imej watak komik X-Men yang sememangnya sudah terkenal dengan pelbagai watak mutan. Lima watak yang diperkenalkan di dalam novel remaja ini seperti menggunakan formula lima watak asal X-Men yang lahir pada tahun 1963 yang lalu. Dari segi kuasa pula, Azurin memiliki banyak persamaan dengan Storm. Izkandar pula banyak persamaannya dengan Jean Grey walaupun jantina berbeza. Asyran pula mengingatkan saya kepada Quicksilver yang bergerak sepantas kilat. Mawar pula persis watak Pyro. Suzaimi pula seperti satu kacukan di antara Wolverine (memulihkan kecederaan sendiri) dengan Tattletale (meramal masa depan melalui mimpi). Malah, apabila watak Suzaimi diperkenalkan di dalam Bab 1 "Kurniaan yang Aneh," saya terus teringatkan kisah Origin yang diterbitkan oleh Marvel Comics pada tahun 2001 yang mengisahkan asal-usul watak Wolverine. Terdapat sedikit persamaan di sana sini walaupun berkemungkinan besar ianya tidak disengajakan. Malah, Akademi Gemilang itu sendiri sebagai sebuah institusi tidak jauh bezanya dengan Xavier's Institute. Cuma bezanya Akademi Gemilang letaknya di Tanah Tinggi Cameron dan satu lagi di 1407 Graymalkin Lane, Westchester County. [Ya..., saya mengaku, saya memang hantu komik].

Namun, adakah persamaan-persamaan seperti ini menjadikan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi satu klon atau imitasi komik X-Men? Bagi saya, tidak. Mungkin dari satu sudut, iaitu kuasa yang dimiliki oleh watak-watak ini mengingatkan kita kepada komik popular ini. Namun, jika dibaca kisah Suzaimi ini, ianya mempunyai unsur-unsur keasliannya yang tersendiri. Lebih menarik, sepanjang pengkisahan ini, Hani Ismail menyelitkan nilai-nilai keagamaan dan kemasyarakatan seperti bersyukur atas anugerah Allah, menggunakan kelebihan dengan tanggungjawab, tidak menyalahkan takdir, setia kawan dan sebagainya. Pastinya apabila nilai-nilai seperti ini diselit di dalam kisah pengembaraan seperti ini yang disukai remaja, ianya dapat diterapkan secara tidak langsung. Novel remaja ini sebenarnya sarat dengan nilai positif. Lihat saja satu contoh seperti petikan dialog di bawah (halaman 70):

"Semua ini takdir. Jangan terlalu kesal sehingga lupa yang Tuhan maha mengetahui. Saya harap awak tabah dan sabar menghadapi ujian-Nya. Insya-Allah kami di sini membantu awak memahami dan mendalami kebolehan istimewa itu."
Interaksi watak-watak yang ada sememangnya nampak logikal dan tidak dipaksa atau dibuat-buat. Saya tersenyum sendirian membaca interaksi antara beberapa watak seperti Izkandar dengan Asyran, Suzaimi dengan Mawar, dan Azurin dengan Izkandar. Hani Ismail berjaya membawa keluar "keremajaan" watak-watak ini menerusi dialog yang digunakan.

Pun begitu, saya terasa sedikit kurang puas dengan watak-watak jahat di dalam kisah ini. Kata orang putih, "a hero is only as good as its villain." Walaupun watak-watak ini unik dan menakutkan, terutamanya bagi remaja, saya rasa seperti ada yang kurang dengan watak-watak ini. Tidak seperti watak-watak baik yang dibangunkan di dalam Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi, saya rasakan watak-watak jahat ini hanya watak-watak dua dimensi. Saya ingin melihat watak-watak jahat yang mempunyai perwatakan yang lebih mantap dan bermakna.

Keseluruhannya, saya agak terhibur dengan novel remaja ini. Mungkin usia saya tidak lagi berada di dalam kategori remaja, tetapi kisah Suzaimi ini cukup menarik untuk dibaca sekalipun sudah melepasi usia ini. Jika benar seperti yang diuar-uarkan bahawa Akademi Gemilang adalah satu siri - seperti Harry Porter - saya yakin siri tempatan ini mampu mendapat ikutan remaja sekiranya promosi novel ini diperhebatkan.


Penilaian: 3.5 bintang